Ahad, 14 Ogos 2011

di negeri perak - Google Blog Search

di negeri perak - Google Blog Search


Perihal protokol dan tataadab istana <b>negeri Perak</b> | SembangKuala

Posted: 11 Aug 2011 08:42 PM PDT

Paparan kali ini berkisar perihal protokol dan tataadab berhubung gelaran mahupun panggilan bagi Raja Pemerintah, bakal Raja-raja Pemerintah, waris-waris negeri serta kaum kerabat negeri Perak Darul Ridzuan. Ini termasuklah protokol serta tataadab dalam perutusan surat atau perhubungan antara rakyat jelata dan golongan Istana.

Pangkat gelaran seseorang Raja Pemerintah bagi sesebuah negeri di Malaysia adalah berlainan antara satu sama lain walaupun perbezaan itu tidak ketara:

1. Pahang dan Terengganu: "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan…"
2. Perlis: "Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja…"
3. Negeri Sembilan: "Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Tuanku…"
4. Kelantan: "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan…"
5. Kedah, Selangor dan Johor: "Duli Yang Maha Mulia Sultan…"

Bagi negeri Perak pula, gelaran keatas Raja Pemerintahnya adalah "Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan…". Maka, gelaran yang paling tepat bagi Raja Pemerintah yang sedang bertakhta kini adalah, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

Gelaran bagi isteri atau "suri" bagi Raja Pemerintah negeri Perak pula bergantung samada "suri" itu adalah berketurunan Raja ataupun orang kebanyakan. Bagi yang berdarah Raja, gelarannya adalah "Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan…" manakala bagi orang kebanyakan, gelarannya sekarang adalah "Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku…", ataupun "Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri…" seperti lazim digunakan pada dahulu kala. Jika Raja Pemerintah itu mempunyai "suri" melebihi seorang, gelaran-gelaran bagi isteri-isterinya itu adalah "Yang Teramat Mulia Raja Puan…" bagi yang berketurunan Raja atau "Yang Teramat Mulia Che' Puan…" bagi orang kebanyakan.

Sementara itu, bagi bakal-bakal Raja Pemerintah negeri Perak seperti Raja Muda dan Raja Di-Hilir, gelarannya adalah seperti berikut:

1. Raja Muda: "Duli Yang Teramat Mulia Raja …"
2. Raja Di-Hilir: "Duli Yang Amat Mulia Raja …"

"Suri" utama bakal Raja Pemerintah iaitu Raja Muda pula digelarkan "Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar…" bagi yang berdarah Raja atau "Duli Yang Teramat Mulia Che' Puan Besar…" untuk orang kebanyakan. Bagi "suri" kepada Raja Di-Hilir pula digelarkan sebagai "Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda…" bagi yang berdarah Raja atau "Duli Yang Amat Mulia Che' Puan Muda…" bagi orang kebanyakan.

Dalam perutusan surat kepada Raja Pemerintah mahupun bakal-bakal Raja Pemerintah, format atau contohnya adalah seperti berikut:

Format surat kepada Raja Pemerintah.

Apabila mangkatnya seseorang Raja Pemerintah dan bakal Raja Pemerintah, perkataan Almarhum akan diletakkan pada pangkal nama Raja Pemerintah (termasuk bakal Raja Pemerintah) yang telah mangkat itu. Sehubungan dengan kemangkatan Raja Pemerintah mahupun bakal Raja Pemerintah, gelaran "Duli" pada pangkal gelaran "suri" utama itu akan digugurkan kepada "Yang Maha Mulia Raja Perempuan…" ("suri Raja Pemerintah"), "Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar…" ("suri" Raja Muda) dan "Yang Amat Mulia Raja Puan Muda…" ("suri" Raja Di-Hilir).

Sementara itu, apabila balu kepada Almarhum Raja Pemerintah atau bakal Raja Pemerintah itu berkahwin semula, maka gelarannya akan digugurkan dan gelaran barunya akan berdasarkan kepada gelaran suami barunya itu.

Sebagai protokol, setiap pada pangkal nama setiap Raja-raja bergelar seperti Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong dan lain-lain serta waris-waris negeri dan kerabat perlu diletakkan "Yang Mulia" kecuali mereka ini adalah putera dan puteri bagi Raja Pemerintah yakni gelaran "Yang Amat Mulia" perlu diletakkan dipangkal nama mereka. Secara amnya di negeri Perak, waris-waris serta kaum kerabat dirujuk sebagai "Engku". Negeri-negeri lain pula mungkin dirujuk sebagai "Ungku" atau "Tengku". Di negeri Perak, gelaran Tengku adalah terhad kepada pembesar negeri iaitu Orang Besar Empat.

Berkenaan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang berdarah Raja manakala ayahnya seorang kebanyakan, Megat dan Puteri akan diletakkan pada pangkal nama anak tersebut bergantung kepada jantina.

Notakaki:
SembangKuala mempunyai paparan lain yang menyentuh perbahasaan istana dalam konteks perhubungan secara lisan dengan Raja Pemerintah, Raja Bergelar dan Orang-orang Besar:
1. Tengku dan Engku
2. Payung
3. Tuan

______________________________________

Sumber rujukan:
1. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim
2. Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan
3. Laman Web Rasmi Pejabat KDYMM Sultan Pahang
4. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan
5. Pejabat KDYMM Sultan Terengganu

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan