Chan Wei See
Pada  28 tahun yang lalu, Ng Toong Foo, seorang peniaga berusia 38 tahun  ketika itu, menerima tawaran projek pengendalian sisa kilang daripada  Asian Rare Earth, kerana tertarik dengan harga tawaran yang tinggi.   Beliau mengupah empat orang pekerja, termasuk tiga orang pemandu lori  dan seorang pemandu jentolak untuk mengangkut sisa buangan dari kilang.
Sisa  yang berwarna putih ini basah dan lembut, tiada bezanya dengan lumpur,  namun berbau masam jika dihidu.  Pihak kilang memberitahu Ng bahawa sisa  ini boleh dijadikan baja.  Jadi Ng bersama pekerjanya mengangkut sisa  tersebut dari kilang untuk dibuang ke ladang kebun yang berdekatan,  termasuk kebun sayur pakciknya untuk dijadikan "baja", atau membuang  begitu sahaja di tepi kawasan perumahan dan jalan raya.
Cecair sisa itu mengalir sepanjang proses pengangkutan, namun tidak dipeduli oleh sesiapapun.
Sehinggalah  pada tahun 1984, apabila penduduk Bukit Merah, Papan, Menglembu dan  lain-lain tempat bangkit menentang Asian Rare Earth kerana menghasilkan  sisa yang toksik ketika pemprosesan rare earth, barulah Ng sedar.  "Baja" yang dimaksudkan rupa-rupanya thorium yang mempunyai radioaktif!
Dalam  kes mahkamah di mana penduduk Bukit Merah memohon untuk menutup kilang  tersebut, Ng Toong Foo pernah tampil untuk memberi keterangan.  Beliau  mengisahkan cerita yang "ngeri" ini.  Menurut laporan Nanyang Siang Pau  pada 30 Oktober 1986, pakar radioaktif dari Jepun Sadao Ichikawa  mengesahkan bahawa paras radioaktif di lokasi yang mana Ng membuang sisa  tersebut adalah lima kali ganda lebih tinggi dari paras selamat,  setelah kajian dilakukan di situ.
Apa  yang mengejutkan, pihak yang berkenaan tidak memanggil Ng untuk  menunjukkan lokasi di mana sisa itu dibuang, selepas pendedahan ini pada  tahun 1985.  Justeru itu, sebahagian sisa tersebut masih berselerak di  sekitar kawasan kilang Asian Rare Earth.  Menurut laporan akhbar ketika  itu, Ng berkata sisa thorium itu bertaburan di kawasan bekas lombong,  kebun, tepi kawasan perumahan dan jalan raya di sekitar Menglembu,  Lahat, Jelapang, Pengkalan, Buntong, Simpang Pulai dan lain-lain lagi.
Lokasi buangan sisa
MerdekaReview  telah berjaya menemui Ng Toong Foo di Menglembu, untuk mengimbas  pengalamannya 20 tahun yang lalu.  Bagaimanapun, beliau enggan diambil  gambar oleh wartawan.  Ng membawa wartawan ke lokasi di mana beliau  membuang sisa tersebut.  Sepanjang perjalanan, beliau berkata, "situ  ada", "sana pun ada"... nampaknya taburan sisa kimia tersebut agak  meluas.
Salah  satu lokasi pembuangan sisa tersebut berada di tepi jalan Bandar Lahat  Baru.  Beliau membawa kami menyusuri lorong kecil ke lokasi itu.  Dua  orang budak yang berbasikal sedang menuju ke arah kami.  Ng menuding  jarinya ke arah rumpun di tepi lorong, "Situ!"
Sisa  thorium dibuang di kawasan yang mana orang berulang-alik.  Kawasan ini  adalah paya ketika sisa dibuang, dan kini sudah ditumbuh rumput.  Sukar  untuk dikesan melalui mata kasar apakah yang pelik dengan rumpun  tersebut.  Seandainya Ng tidak menunjukkan kami kawasan di mana lokasi  pembuangan sisa itu berdasarkan ingatannya, tiada orang yang tahu bahawa  sisa buangan itu berada di situ.
Paling  mengejutkan, walaupun Ng telah mendedahkan di mahkamah bahawa pihak  kilang tidak menetapkan tempat buangan sisa tersebut, dan beliau hanya  membuang di merata-rata, namun tiada pihak yang berkenaan menghubungi Ng  untuk meminta agar beliau menunjukkan lokasi buangan tersebut -  sepanjang 25 tahun ini.  Lantaran daripada itu, Lembaga Perlesenan  Tenaga Atom (AELB) dan pihak berkenaan yang lain nampaknya tidak  memandang berat masalah sisa yang mempunyai radioaktif ini.
Menurut laporan Sin Chew Jit Poh pada  30 Oktober 1986, pakar radioaktif dari Jepun, Sadao Ichikawa ketika  membuat kajian di kawasan pembuangan sisa muatan dua lori itu, mendapati  paras radioaktif adalah lima kali ganda lebih tinggi dari paras  selamat.  Selain itu, beliau berkata sisa thorium itu tidak akan hilang  walaupun dibasahi air hujan, sukar dikesan apabila sebati dengan tanah,  malah akan mengeluarkan bau.  Jadi ia belum terjamin bahawa kesihatan  manusia tidak akan terancam jikapun disimpan dalam "gedung" tertentu.
Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview,  profesor kolej swasta yang pernah terlibat dalam perjuangan penduduk  Bukit Merah, Tan Ka Kheng (gambar kiri) berkata, separuh hayat untuk  thorium-232 adalah 14.05 bilion tahun.  Dengan kata lain,  keradioaktifannya hanya akan berkurang separuh dari asal selepas 14  bilion tahun.  Maknanya, keradioaktifan sisa yang dibuang Ng tidak  berkurang dari tahun itu!
Jadi,  penduduk kawasan tersebut masih terdedah kepada ancaman radioaktif.  Tan  Ka Kheng berkata, mangsa pertamanya adalah petani yang berkebun di situ  jikalau sisa thorium tidak dikendalikan dengan baik.  Keduanya,  radioaktif tersebut akan masuk ke dalam rantaian makanan melalui  sayuran, dan seterusnya mengancam kesihatan penduduk.
Tiga daripada empat mati
Ketika  mengimbas peristiwa 28 tahun yang lalu, "sisa ketakutan" masih  terpendam dalam hati.  Menurut Ng Toong Foo, tiga daripada empat orang  pekerjanya telah meninggal dunia pada usia yang muda, iaitu beberapa  tahun selepas bekerja dengannya.  Ng pernah mengadu di mahkamah bahawa  terdapat bintik merah pada tubuhnya.  Kini, terdapat pula bintik putih  pada tangan, kaki, tepi bibir, dan tepi matanya.
Beliau  enggan diambil gambar.  Ketika ditanya apakah puncanya, beliau berkata,  "Tiada pun seorang dalam pertalian keluarga saya mempunyai benda  (bintik putih) ini."
Beliau pernah  memegang sisa toksik itu dengan tangan sendiri, dan beliau mengesyaki  bahawa itulah puncanya bintik putih pada badannya.  Malah, beliau kini  menghadapi masalah bernafas.
Ng  terlupa sejak tahun bilakah beliau menerima tawaran projek pengendalian  sisa buangan itu, hanya ingat bahawa dirinya bekerja dengan kilang itu  untuk kira-kira tiga atau empat tahun.  Namun, mengikut laporan akhbar  pada ketika itu, beliau menjadi kontraktor kepada kilang Asian Rare  Earth sejak Jun 1983, bertanggungjawab mengangkut sisa dari kilang untuk  dibuang ke tempat lain.  Beliau hanya berhenti apabila mengetahui  bahawa bahan itu bertoksik pada tahun 1984.
Beliau  telah bekerja sebagai kontraktor untuk lebih 40 tahun.  Beliau berkata  dirinya tertarik dengan harga tawaran kilang tersebut, maka terus  menerima projek itu.  Pihak yang berunding dengannya hanya memberitahu  bahawa sisa itu adalah "kek thorium" (thorium cake), tanpa menjelaskan apakah itu sebenarnya, malah juga tidak memberitahu di mana sisa itu harus dibuang.
Selain itu, walaupun kerja pengendalian sisa radioaktif ini di-"outsource",  namun Asian Rare Earth tidak merangka kontrak dalam hitam putih  (bertulis).  Keadaan ini cukup untuk menunjukkan bahawa pihak kilang  tidak memandang berat pengendalian sisa ini.  Hanya apabila pendedahan  Ng diberi liputan akhbar, barulah pihak kilang menjelaskan, "Arahan  secara lisan sudah memadai..." (New Straits Times, 25 November 1986)
Ng yang tinggal di Menglembu memberitahu MerdekaReview,  pihak kilang memaklumkannya bahawa sisa ini boleh dijadikan "baja".   Jadi, beliau mengangkut sisa ini ke kebun pakciknya yang berhampiran  dengan kilang.  "Banyak tempat yang saya tuang (sisa itu)... Masih boleh  dikorek pada hari ini".
Beliau  berkata, sisa thorium itu kelihatan bagai gum, kapur, berair dan ada  mendakan, baunya masam.  Tikus dan lipas di kawasan buangan sampah  hilang begitu sahaja apabila Ng membuang sisa itu ke kawasan itu, malah  sayuran yang "dibajai" sisa thorium ini sangat "cantik" (kerana tiada  serangga).  Namun, manusia akan berasa tidak selesa ketika mendekati  bahan sisa tersebut.
Tidak akan terima projek ini kalau sedar ia beracun
Wartawan  mengungkit semula peristiwa silam ini.  Selepas Ng Toong Foo  mengisahkan ceritanya pada ketika itu, Pengurus Asian Rare Earth pernah  menjawab bahawa Ng yang mengingkari arahan kilang dan membuang sisa  thorium di merata-rata.  Menurut laporan New Straits Times pada  25 November 1986, pihak kilang mendakwa Ng menerima tawaran itu pada  kemuncak perjuangan penduduk menentang kilang ini, lantas Ng seharusnya  sedar akan bahayanya sisa thorium.
Ng  Toong Foo dengan nada yang kasar menyoal wartawan, "Jikalau kamu tahu  benda itu beracun, adakah kamu masih mahu mengangkutnya?"
"Dia  (pengurus) tidak berani untuk berkata sedemikian pada ketika itu.   Benda yang beracun adalah merbahaya.  Adakah dia akan berkata sesuatu  yang benar?  Dia tidak mahu menulisnya dalam hitam putih.  Dia tahu  bahawa kita tidak tahu," Kata Ng.
"Ia  memerlukan lesen untuk menghasilkan sesuatu.  Kalau produknya beracun,  maka kerajaan tidak akan meluluskan lesen kepadanya.  Benda yang  diluluskan semestinya tidak akan mengancam kesihatan manusia.  Jadi,  kerajaan yang menipu kami," tuduhnya.
Wartawan  memetik kenyataan pihak kilang bahawa lokasi pembuangan sisa toksik ini  telah ditetapkan.  Ng mempersoalkannya, "Buang di mana?  Tunjukkan  saya!  Manakah lokasi pembuangannya itu?  Tunjukkan saya.  Kamu tidak  tunjukkan saya, di mana lokasi yang diluluskan untuk pembungan sisa?   Hanya muncul selepas itu!"
Kilang  Asian Rare Earth dibina pada tahun 1979 di kawasan perindustrian Bukit  Merah, untuk mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada  monazit, menghasilkan sisa buangan radioaktif sebanyak 2,250 ton  setahun.  Namun demikian, AELB belum ditubuhkan pada ketika itu, maka  pihak kilang tidak perlu memohon lesen khas.
AELB  ditubuhkan pada 1 Februari 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk  memantau keselamatan tenaga atom di seluruh negara.  Asian Rare Earth  mendapat lesennya pada Disember 1986, untuk teruskan pemprosesan  kilangnya, sebelum dihentikan pada Januari 1994.
Tapak  buangan radioaktif Asian Rare Earth pada awalnya dibina di Papan  (gambar kanan), namun tidak digunakan lantaran protes dari penduduk  tempatan.  Pengerusi Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) Hew Yoon  Tat memberitahu MerdekaReview,  kerajaan mengumumkan pada tahun 1986 untuk membina tapak pembuangan  sisa radioaktif di Keledang Hill, kira-kira tiga kilometer dari Papan.   Tapak ini siap dibina pada tahun 1990, dan sisa buangan radioaktif hanya  dipindah ke sana pada tahun 1991.
Oleh  itu, dalam jangka antara binanya kilang pada tahun 1979, hinggalah  penggunaan tapak pembuangan sisa radiokatif pada tahun 1991, sisa  buangan kilang Asian Rare Earth tidak dikendalikan dengan baik.  Kalau  bukan pendedahan Ng Toong Foo, kita tidak tahu bahawa sisa buangan  radioaktif ini dikendalikan dengan cara yang sambil lewa.
Kerajaan menganggap isu rare earth telah  melabuh tirai selepas tutupnya kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah.   Padahalnya, sisa buangan ini belum dikendalikan dengan sebaik-baiknya,  mendedahkan penduduk tempatan kepada ancaman radioaktif.
*Chan Wei See ialah Pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal. Gambar-gambar lama di atas diambil daripada Hew Yoon Tat.
  Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.