JERAM – Kegembiraan cuti umum sempena sambutan Hari Malaysia bertukar menjadi mimpi ngeri buat peniaga di Pantai Remis apabila ribut melanda di kawasan peranginan itu selama 20 minit, semalam.

Dalam kejadian antara jam 12 tengah hari dan 1 petang itu, lebih 30 gerai menjual pelbagai barangan aksesori, tudung, pakaian dan makanan, dianggarkan bernilai lebih RM30,000 rosak akibat dibadai ribut.

Peniaga tudung, Mohd Azahar Abdul Rafar, 47, berkata, ketika kejadian, kebanyakan peniaga baru sahaja memasang khemah dan meyusun barang jualan masing-masing.

"Ramai peniaga rugi akibat tiang khemah patah dan barang jualan terbang kerana kejadian berlaku terlalu pantas, tanpa sebarang tanda amaran sebelum itu. Di khemah saya sendiri, tudung terbang dan basah. Susah hendak cari di mana ia jatuh.

"Memang cuaca sejuk dan berangin sebelum itu, tetapi kita ingat itu keadaan biasa, tak sangka pula ribut datang tiba-tiba," katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, semalam.

Mohd Azahar yang sudah lima tahun berniaga di situ berkata, kejadian ribut itu bukan kali pertama berlaku di pantai berkenaan, sebaliknya bencana itu kerap terjadi dan semalam adalah kali keenam bencana tersebut berlaku pada tahun ini.

"Kawasan ini kerap mengalami ribut. Jika ribut teruk, cermin tingkap surau pecah dan bumbung medan selera tercabut," katanya.

Tiada pihak tampil membantu

Sepanjang Mohd Azahar berniaga di sini, beliau mendakwa, tiada pihak tampil membantu membela nasib mereka yang kerugian akibat bencana itu dan semuanya terpaksa diusahakan sendiri untuk membangunkan semula perniagaan mereka.

"Apabila terjadinya ribut dan barang jualan serta khemah kami rosak, kami terpaksa beli lagi khemah baru jika tidak boleh digunakan," katanya.

Justeru, dia mengalu-alukan mana-mana pihak seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram atau Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) jika ingin membantu.

Tidak serik berniaga

Seorang lagi peniaga tudung, Hasnizam Abdul Halim, 34, berkata, peristiwa malang itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga di kawasan pesisir pantai tersebut, walaupun tahu risiko bakal ditanggungnya.

"Saya baru sembilan bulan berniaga di sini sebab tempat ini tumpuan pengunjung kerana ia kawasan riadah," katanya.

Bagi penjaja kuih muih, Sabariah Johari, 45, yang sudah berniaga kira-kira 16 tahun di pesisir pantai itu, dia tidak serik untuk meneruskan perniagaannya di sini walaupun berkali-kali terpaksa berhadapan dengan ribut sama, saban tahun. Ketika Sinar Harian berkunjung di tapak perniagaan Sabariah, masih terdapat sisa-sisa kuih muih bertabur di pasir pantai, yang masih belum dibersihkan.

Ambil kesempatan ketika musibah

Dalam keadaan kelam kabut 'bertarung' mempertahankan khemah daripada dilanda ribut, terdapat individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri barangan jualan bertaburan diterbangkan angin.

Perkara itu terjadi kepada Suziana Mohd Sopi, 36, ibu tunggal yang berniaga mainan kanak-kanak selama lima tahun.

Ibu kepada empat cahayamata yang kerugian RM4,000 itu terkilan dengan sikap sesetengah individu yang mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa bencana.

"Peniaga di sini sempat merakam video dan kelihatan beberapa individu mencuri pakaian dan mainan diterbangkan angin, bukannya nak tolong tetapi mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain," katanya.

Pelan tindakan masih dibincang

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Zon 5B, Ahmad Alang berkata, pihaknya akan mengosongkan kawasan pesisiran itu dan bakal membina sebuah bangunan perniagaan yang selesa dan selamat untuk kemudahan peniaga.

"Sekarang, perbincangan masih di peringkat awal  dan dijangka mesyuarat majlis dan akan meluluskan sebelum Disember ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mengulas mengenai bantuan kerugian yang akan disalurkan kepada peniaga terjejas, Ahmad berkata, ia akan dikaji dan jika tapak perniagaan terjejas itu terletak di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), bantuan akan disediakan.

"Bagi premis lain kami tidak akan bertanggungjawab kerana kanopi yang didirikan sememangnya tidak kukuh dan stabil," katanya.

Ahmad berkata, semua tapak perniagaan di kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi kritikal kerana ia menjadi laluan angin, menyebabkan hakisan pantai semakin teruk, bagaimanapun, pihaknya masih belum memutuskan sama ada tebatan akan dibina bagi mengurangkannya.

"Pelan perancangan penyusunan semula  masih belum diputuskan dan ia masih dalam semakan ahli majlis," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga yang memohon lesen perniagaan di situ, tidak menjual atau menyewa lesen kepada peniaga lain. Setakat ini, hanya 45 peniaga memiliki lesen dan dianggarkan 70 permohonan masih diproses.