IPOH – Dua pengusaha barangan lusuh dan dua pekerja sebuah kilang penapis air ditahan reman selama tujuh hari berkuat kuasa semalam, bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen besi lusuh di Menglembu di sini.

Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Shamsol Azwa Martadza mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini pada jam 11 pagi, semalam.

Kesemua suspek yang diiringi empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup muka masing-masing bagi mengelak wajah mereka dirakam oleh jurugambar.

Difahamkan, enam suspek termasuk empat pekerja kilang terbabit ditahan dalam satu operasi di premis masing-masing di Menglembu, kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, dua pekerja kilang termasuk seorang wanita dilepaskan dengan jaminan.

Dalam kes itu, pengusaha barangan lusuh berkenaan berpakat dengan pekerja untuk mengeluarkan resit timbangan palsu kurang dari timbangan sebenarnya dengan tujuan mengurangkan bayaran.

Siasatan mendapati kes berkenaan berlaku sejak enam tahun lalu dipercayai melebihi RM1 juta ekoran pembelian selama dua tahun lalu melibatkan lebih RM200,000.

Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu mengemukakan dokumen palsu.