Ahad, 27 Mei 2012

07 di kuala sepetang - Google Blog Search

07 di kuala sepetang - Google Blog Search


Travelog aie & sha: Antara mi udang dan arang <b>di Kuala Sepetang</b>

Posted: 21 Mar 2012 09:45 AM PDT

Terletak di dalam daerah Taiping, Perak, Kuala Sepetang merupakan perkampungan nelayan berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang sangat luas. Panorama muara sungai yang menghadap Selat Melaka itu cukup indah dinikmati ketika lewat petang. Lebih-lebih lagi ketika matahari mula terbenam di ufuk barat. Sesuai benarlah dengan nama diberi.Terlanjur ke Kuala Sepetang, rugi sekiranya tidak mencuba mi udang di sana. Sebut sahaja Kuala Sepetang, pasti mi udang yang muncul di fikiran kebanyakan mereka yang pernah berkunjung ke sana. Kedua-duanya begitu sinonim. Keenakannya membuatkan ramai yang sanggup memandu beratus kilometer demi mendapatkan mi udang terbaik di sana.

Terdapat banyak restoran mi udang boleh didapati di Kuala Sepetang. Antara yang sering mencuri perhatian adalah Mak Teh Mi Banjir Udang, Mi Udang Pak Salleh dan Mi Udang Mak Jah.

Kami sempat singgah di Mak Teh Mi Banjir Udang. Restoran ini agak popular kerana kisah mi udangnya pernah disiarkan di beberapa program di TV3 seperti Jalan-Jalan Cari Makan dan Majalah 3. Di sini, pelanggan diberi peluang untuk memilih mi udang mereka dengan tiga jenis harga. RM6 untuk udang kolam (bela) manakala RM10 dan RM12 untuk udang liar (laut). Yang membezakan mi udang RM10 dan RM12 adalah kuantiti dan saiz udangnya. Dah alang-alang sampai, kami memesan mi udang berharga RM10.

Sampai je mi udang yang dipesan, terus sahaja kami mengira udangnya dahulu. Kira-kira tujuh ekor kesemuanya. Jika mi-mi udang di tempat lain, selak mi baru jumpa udang. Namun di sini sebaliknya, selak udang baru jumpa mi. Selain udang-udangnya yang besar dan segar, perkara lain yang membuatkan mi udang tersebut bertambah sedap adalah kuahnya. Rasanya manis dan pati udangnya begitu kuat. Benarlah bagai dikata, mi udang Kuala Sepetang memang terbaik. Tidak hairanlah ia masyhur di seantero Malaysia.

Selain mi udang, ada beberapa lagi perkara menarik tentang Kuala Sepetang. Antaranya ialah industri pembuatan arang. Setelah hampir lapan dekad, arang yang dihasilkan di sini diiktiraf antara yang terbaik di Asia dan mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa khususnya dari Jepun. Sehingga kini dianggarkan terdapat lebih kurang 100 pengusaha arang di sini.

Uniknya, proses pembuatan arang di sini dilakukan sepenuhnya secara tradisional. Kayu arang yang ditebang akan dihanyutkan melalui satu laluan air di tengah-tengah kilang. Ianya kemudian dibersihkan dan kulitnya disiat sebelum dibawa ke 'Igloo' di mana ianya akan dibakar selama lebih kurang 20 hari dan mengambil masa seminggu untuk disejukkan sebelum boleh dipasarkan.

Selain berpeluang melihat sendiri kerja-kerja pembuatan arang tersebut, kilang-kilang arang di sini juga sesuai menjadi lokasi untuk peminat-peminat forografi yang ingin menambahkan koleksi karya mereka. Di segenap sudut, ada sahaja yang boleh dirakam oleh lensa kamera, lebih-lebih lagi gelagat pekerja-pekerja di sana.


Jadi jangan lupa, kalau dah ke Kuala Sepetang untuk menikmati mi udang, singgahlah juga di kilang-kilang pembuatan arang di sana. Sambil makan, kita tambah pengetahuan dan pengalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan