Rabu, 7 November 2012

07 di manjoi - Google Blog Search

07 di manjoi - Google Blog Search


cikgu azhar: MYDIN BAWA PERSEKITARAN BANDAR KE <b>MANJOI</b> <b>...</b>

Posted: 24 Oct 2012 06:46 AM PDT

Dalam jangka masa singkat dan pendek, kemunculan sesebuah pasar raya mega akan mengakibatkan peniaga runcit kecil-kecilan, penjaja dan peniaga pasar malam sesak nafas. Sistem urus niaga dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasar raya tentu jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan perniagaan skala kecil di lot kedai biasa dan jalanan. Apatah lagi bahawa pasar raya menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti ruang rehat, surau, bersih diri, ruang kanak-kanak, medan selera, perbankan dan gerai penjaja di bawah sebuah kompleks berhawa dingin yang luas dan selesa.
Namun, tuntutan kehidupan pascamoden yang semakin rencam dan sibuk menyebabkan masyarakat lebih cenderung untuk berkunjung ke sebuah gedung perniagaan yang dapat memenuhi rancangan pembelian mereka secara serentak demi menjimatkan masa. Tambahan pula pelbagai 'umpan' menarik seperti potongan harga, pembelian dengan pembelian dan pengumpulan mata ganjaran keahlian dan penggunaan kad kredit memberikan fleksibiliti kewangan kepada pengguna. Kuasa beli masyarakat juga telah meningkat kerana ramai yang datang dengan kenderaan sendiri ke pasar raya.
Manjoi dahulunya hanyalah sebuah petempatan pinggir bandar yang biasa-biasa sahaja. Penulis blog (PB) sendiri pernah tinggal di kawasan Sungai Kati semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekerja sementara di sebuah kilang berasaskan keluaran tembikar atau pottery. Imej Manjoi bagaimanapun dikatakan terjejas gara-gara kewujudan beberapa sarang atau port penagih dadah tegar.
Manjoi ialah sebuah petempatan masyarakat Melayu di pinggir bandar raya Ipoh sepertimana Kampung Kepayang Fair Park dan Sungai Rokam. Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Manjoi ialah Datuk Nadzri bin Ismail, 54, bekas pegawai tadbir negeri dan exco Angkatan Belia Islam Perak (Abim). Beliau telah berusaha kuat bagi merealisasikan konsep Gugusan Manjoi yang bakal mengubah persekitaran petempatan Manjoi secara keseluruhannya.
Manjoi juga terletak dalam kawasan parlimen Tambun yang diwakili oleh Dato' Seri Ahmad Husni bin Hanadzlah, 60, Menteri Kewangan Kedua Malaysia. Tempias kemajuan pesat yang dialami oleh kawasan Lembah Meru dan projek hartanah mewah di sepanjang laluan Tambun ke arah Tanjung Rambutan turut terkena kepada Manjoi sebagai jiran terdekat. Sudah tentu Manjoi tidak akan dibiarkan sebagai dikotomi kepada pembangunan dan zon pertumbuhan baharu itu.
Walaupun Meru Raya yang bakal muncul sebagai pusat bandar raya terbaharu Ipoh dengan pemusatan pelbagai perkhidmatan pengangkutan, perbankan dan pentadbiran, Manjoi juga dijangka memiliki kemudahan yang serupa supaya dapat muncul sebagai sebuah bandar satelit berteraskan masyarakat Melayu Islam seperti Shah Alam. Pasar raya mega Mydin di Meru Raya dilengkapkan dengan sebuah lagi pasar raya Mydin di Manjoi walaupun jarak antara kedua-duanya tidak melebihi sepuluh kilometer. 
Jumlah penduduk Manjoi dianggarkan 40,000 orang, tidak termasuk anak muda di perantauan yang akan pulang menjenguk orang tua mereka ketika musim cuti dan perayaan. Kini, mereka mempunyai pilihan untuk berbelanja di kawasan setempat tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya untuk ke Jaya Jusco, Parkson Grand atau UO di Greentown Mall.
Peniaga runcit dan penjaja perlu menerima hakikat bahawa mereka berhadapan dengan cabaran dan persaingan perniagaan dengan gedung besar dan terkenal satu Malaya. Mereka tidak pantas melabel Mydin sebagai pembuli peniaga kecil kerana kelulusan operasi Mydin juga tertakluk kepada syarat supaya 70 peratus barang jualan dalam gedung mereka ialah keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Daripada terus bersedih dan cemas, lebih baik persatuan peniaga runcit dan penjaja mencari jalan untuk bergerak sebagai sebuah entiti raksasa yang mampu menyaingi pasar raya mega seperti Mydin.
Dalam sejarah pertumbuhan bandar, proses penggantian perniagaan kecil kepada gedung raksasa merupakan perkara biasa. Perniagaan kecil dan runcit dan penjaja perlu bergerak dalam sebuah konsortium yang mampu mengekalkan kewujudan mereka dalam dunia persaingan perniagaan yang rencam. Saranan konsep Samudera Biru (Blue Ocean) mungkin sekali relevan untuk mereka.

Kedudukan Mydin Manjoi boleh dianggap strategik kerana bersebelahan dengan Pejabat Tanah dan Daerah  Ipoh dan kompleks al-Barakah milik Ustaz Kadzim Elias. Namun, peniaga medan selera Mydin mengatakan bahawa kunjungan orang ramai tidaklah luar biasa sangat. Rezeki di tangan Tuhan dan setiap insan memiliki bahagian masing-masing, insya-Allah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan