Rabu, 17 Ogos 2011

07 di kinta - Google Blog Search

07 di kinta - Google Blog Search


Malaysia Zoom » Wajib pasang perangkap minyak

Posted: 11 Aug 2011 04:00 PM PDT

IPOH 11 Ogos – Semua pengusaha restoran dan peniaga pasar-pasar awam di bandar raya ini diarah memasang perangkap minyak dan gris berkuat kuasa serta-merta dalam usaha mencegah pencemaran di Sungai Kinta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kandungan gris yang tinggi daripada air buangan atau efluen pasar awam dan restoran merupakan antara punca utama pencemaran sungai itu.

"Cadangan pemasangan perangkap minyak ini sudah dibuat kira-kira lima tahun lalu tetapi mendapat banyak bantahan daripada pengusaha.

"Kita sudah beri banyak masa. Selepas itu banyak pertimbangan dan perbincangan, sudah tiba masanya untuk kita jadikan ia mandatori," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Satu Negeri Satu Sungai di sini hari ini.

Menurut Hang Soon, para peniaga boleh membeli perangkap minyak itu dari mana-mana pembekal di pasaran tetapi alat itu perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Saya telah mengarahkan MBI untuk melihat perkara ini. Pada masa sama, kita juga cuba berunding dengan beberapa pembekal yang boleh menawarkan harga terendah," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sungai Kinta kini lebih bersih dan petunjuk utamanya ialah berlakunya pembiakan pelbagai spesies ikan di situ berbanding dahulu.

"Secara keseluruhannya, Indeks Kualiti Air (WQI) Sungai Kinta kini berada di Kelas Dua berbanding Kelas Tiga suatu ketika dahulu dan ini adalah hasil usaha-usaha yang kita lakukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Ir. Abdul Razak Dahalan memberitahu, pihaknya telah memasang banyak loji rawatan air mini dengan kos sekitar RM400,000 untuk menangani masalah air buangan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kawasan perumahan sekitar.

Katanya, loji rawatan air mini itu terletak di sebelah Sungai Kinta, berdekatan dengan Taman D.R. Seenivasagam, di sini.

"Kawasan jajaran Sungai Kinta yang menjadi fokus kita ialah dari Taman D.R. Seenivasagam hingga restoran Nashmir di Pekan Lama," ujarnya.

Beliau juga memberitahu, orang ramai kini boleh berenang di sesetengah jajaran Sungai Kinta yang bacaan WQI Kelas Dua yang tinggi.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan