Sabtu, 10 September 2011

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


Malaysia Zoom » Kafe latih OKU mula beroperasi

Posted: 10 Sep 2011 04:00 PM PDT

IPOH 10 Sept. – Pusat pendidikan orang kurang upaya (OKU), Ray of Hope mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pusat pendidikan OKU pertama menyediakan tempat latihan berupa kafe untuk pelajarnya.

Pengerusinya, Mary Lim berkata, kafe yang mula beroperasi sejak dua bulan lalu itu dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar OKU sambil dibantu beberapa sukarelawan.

Katanya, objektif kafe itu ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tersebut mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari di pusat pendidikan itu.

"Ray of Hope telah ditubuhkan sejak 11 tahun lalu dan sejak itu kita mempunyai seramai 73 pelajar dan 18 orang daripadanya diambil bekerja di kafe ini.

"Kesemua mereka dibayar gaji sama seperti pekerja lain dan kita mahu mereka merasai kehidupan normal dan tidak ketinggalan dalam menjalani rutin seharian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 di Taman Sri Kurau, Bercham di sini, semalam.

Diminta mengulas mengenai kafe yang dikendalikan oleh golongan OKU itu, Hang Soon berkata, ia merupakan usaha yang baik dan perlu dicontohi oleh pertubuhan lain.

Katanya, dengan adanya kafe seperti itu, ia membolehkan pelajar-pelajar di pusat OKU tersebut mempraktikkan latihan yang dipelajari dalam pekerjaan sebenar.

"Ini kafe pertama di Perak yang dikendalikan sepenuhnya golongan OKU sambil dipantau oleh beberapa sukarelawan. Ia satu usaha yang bagus dan wajar dicontohi pertubuhan OKU yang lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih banyak pusat pendidikan untuk OKU perlu ditubuhkan dalam usaha membantu golongan itu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh dan galakan berterusan kepada mana-mana individu atau pertubuhan yang mahu mengusahakan pusat latihan untuk golongan OKU.

"Kesediaan mereka untuk membimbing golongan ini sememangnya suatu usaha yang murni dan sewajarnya mendapat sokongan banyak pihak kerana ia membantu mereka merasai diterima sama seperti individu normal yang lain," katanya.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan