Sabtu, 10 September 2011

07 di bidor - Google Blog Search

07 di bidor - Google Blog Search


Yen Samad Pengawas Hutan | Akarkayu

Posted: 30 Jul 2011 10:03 AM PDT

Yen Samad

Dengan gaji 50 sen sehari Yen Samad yang lahir di Tanjung Malim, Perak memulakan kerjaya beliau di Jabatan Perhutanan pada tahun 1935 sebagai Buruh Hutan di Sungkai. Beliau berpeluang bekerja di beberapa tempat sehingga dinaikkan pangkat menjadi Mandur pada tahun 1940.

Pada tahun 1941 Yen berpindah dari Sungkai ke Kampar dan pada masa itu juga Jepun mendarat di Malaya dan beliau terpaksa berhenti malah gaji untuk bulan itu pun tidak sempat diambil. Zaman Jepun Yen bekerja di Syarikat Namura di Sungkai sebelum memulakan kerja sendiri di Tanjung Malim.

Apabila perang tamat beliau bekerja di Pejabat Hutan Trolak dan kemudiannya berpindah pula ke Bidor mengawal selia kilang papan. Ketika zaman darurat, beliau berjawatan Forest Guard. Kakitangan Jabatan Hutan hanya dibenarkan bekerja di hutan yang berdekatan sahaja dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak polis.

Kerajaan mengeluarkan perintah untuk mengumpul semua pekerja di hutan. Bagi tujuan ini satu pos dibina di dalam Hutan Simpan Chikus. Pihak polis diarahkan mengawal orang yang keluar masuk hutan. "Saya diarah untuk melihat kerja membina pondok polis di pos berkenaan. Bagaimanapun pada sebelah malamnya pondok berkenaan diruntuhkan oleh pihak komunis dan kayu-kayu pondok habis bertaburan.

Ketika meninjau keesokannya bersama-sama Forest Guard Mohd Diah Alwi, dan Buruh Hutan Mohd Sufian Alang Sahi, kelihatan surat propaganda komunis ditabur di sekitar kawasan itu. Beberapa keping papan diletak bertaburan di atas tanah. Di bawah papan berkenaan diletakkan beberapa butir bom. Tujuannya supaya bom itu meletup apabila papan diangkat. Nasib kami sungguh baik kerana Sufian telah mengangkat papan berkenaan tetapi bom tidak meletup, cuma kelihatan pin bom berkenaan sahaja jatuh bertaburan.

Jika bom berkenaan ditakdirkan meletup, saya pun akan turut 'habis' di situ juga. Kami membuat laporan polis yang datang memusnahkan bom itu. Menurut polis, masih terdapat banyak lagi bom ditanam di kawasan itu. Jika terdapat sebutir bom lain turut meletup, ada kemungkinan bom lain turt meletup dan boleh meragut nyawa orang lain. Selepas kejadian itu pondok polis berkenaan dijaga oleh 'Special Constable' (SC) sehingga terus diduduki oleh SC untuk mengawal pekerja hutan keluar masuk ke kawasan itu," katanya.

Satu lagi pengalaman yang masih segar di ingatan Yen ialah peristiwa yang berlaku pada tahun 1948 di Bidor, "Pada masa itu, Pegawai Hutan Daerah (PHD) Batang Padang, D.P.E Speldewinde, Forester 1, Jaafar, Forest Guard, Mohd Diah dan Settlement Officer Tapah pergi ke Bidor untuk menjalankan kerja pemeriksaan di lapangan kerana ada maklumat yang mengatakan bahawa kawasan hutan itu diteroka untuk ditubuhkan ladang. Tujuan kedatangan kami adalah untuk menangkap penceroboh haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Tapah di Ulu Sungai Gedung, Bidor.

Apabila tiba di kawasan htan berkenaan terlihat beberapa orang lelaki sedang menebang pokok. Mereka yang terlibat berjaya ditahan dan dibawa keluar dengan diiringi SC. Di bawah bukit, lelaki Cina yang ditahan dikawal oleh seorang SC dan kami naik semula ke atas bukit untuk mengambil lelaki lain yang turut ditahan. Selepas 15 minit di atas bukit, tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dari bawah bukit. Kami pun turun semula ke bawah, tetapi tidak pula kelihatan SC tadi atau lelaki yang ditahan. Rupa-rupanya lelaki tadi telah dapat melarikan diri ke dalam hutan.

Selepas setengah jam kemudian, SC yang ditugaskan untuk mengawal lelaki tadi keluar dari parit perlindungan. Menurut Yen tahanan tadi telah lari dan tembakan yang kedengaran datangnya daripada komunis yang melepaskan tahanan tersebut. Saya bersyukur kerana peluru senapang tadi tidak tersasar ke arah kami. Walau bagaimanapun kami dapat juga menahan dua orang lelaki Cina yang menebang pokok di hutan berkenaan," katanya.

Pada pandangan beliau kakitangan kerajaan sekarang menikmati kemudahan yang begitu banyak. Keadaan ini baik kerana dapat meningkatkan moral dan semangat pekerja. Diharapkan perkhidmatan mereka juga semakin baik. Dalam usia yang telah lanjut Yen masih lagi menaruh keinginan untuk masuk ke hutan kerana beliau masih mampu berjalan dan tidak menderita dengan penyakit yang serius. Namun begitu keinginan tersebut tidak terlaksana kerana di tempat beliau tidak lagi terdapat hutan. Beliau masih berharap untuk masuk ke hutan di tempat lain untuk tujuan beriadah kerana hutan sudah lama menjadi dunia yang paling hampir dengannya.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan