Jumaat, 30 September 2011

07 di manjoi - Google Blog Search

07 di manjoi - Google Blog Search


<b>manjoi</b>.my: Jalan raya <b>di</b> Gugusan <b>Manjoi</b>

Posted: 15 Jun 2011 12:34 PM PDT


Jika anda tidak pernah memasuki Gugusan Manjoi, jalan-jalannya agak mengelirukan. Seperti kawasan penempatan Melayu yang lain, jalan-jalan dan rumah-rumah di sini kelihatan hampir serupa. Jangan sama sekali memasuki Gugusan Manjoi diwaktu malam jika anda tidak arif tentang arah tujunya.
Terdapat beberapa jalan utama di Manjoi: antaranya Raja, Menteri, Rajawali, Intan, Dato' Sagor, Tun Terang, Cempaka, Alang Ishak, Pasar, Madrasah dan Padang. Mereka dikelaskan sebagai jalan utama kerana lebarnya dan mempunyai jumlah lalulintas yang tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat banyak jalan perhubungan yang lain yang sama penting, tetapi sempit dan pendek, yang mana menyebabkan mereka kelihatan tidak penting.
Pastikan juga anda mengetahui jalan-jalan lencongan, sekiranya terdapat jalan yang ditutup kerana kenduri kahwin (diadakan di atas jalan kerana halaman rumah yang sempit; dengan permit dari MBI), atau jalan yang dibaiki (kadang-kadang, seperti yang anda boleh lihat dari tampalan-tampalan yang kelam-kabut). Lencongan biasanya mudah kerana kebanyakan jalan-jalan di sini berhubungkait, tetapi banyak juga jalan mati di sini.
Sub-kampung dalam Gugusan Manjoi adalah mudah untuk dikenali. Biasanya (ada pengecualian), jalan-jalan di setiap sub-kampung dinamakan mengikut sesuatu:
Manjoi Baru: jalan-jalannya dinamakan gelaran jawatan dalam perkhidmatan/pentadbiran, seperti Pegawai, Perwira, Datok, Datin, Menteri, Raja.
Manjoi Baru Tambahan: jalan-jalan dinamakan jenis-jenis batu permata, seperti Berlian dan Intan.
Tengku Hussein Lama: TH Lama adalah sub-kampung yang sangat kecil. Jalan-jalannya dinamakan Tok Ketua dan bilangannya.
Tengku Hussein Baru: juga sub-kampung yang kecil. Jalan-jalannya dinamakan dengan perkara yang berkaitan dengan masyarakat, seperti Muhibbah dan Budiman.
Tengku Hussein Hujung: Jalan-jalannya dinamakan dengan perkara yang berkaitan dengan pemberian Allah, seperti Syukur, Rahmat dan Nikmat.
DAS: seperti MBT, jalan-jalannya dinamakan jenis-jenis batu permata, seperti Intan, Delima, Nilam dan Zamrut.
DAS 1: sub-kampung yang sangat kecil. Satu-satunya jalan utama dinamakan Orkid, dan yang lorong yang lainnya dinamakan Orkid dan bilangannya.
DAS 2: jalan-jalannya dinamakan jenis-jenis burung, seperti Rajawali, Kedidi, Serindit, Tekukur, Merbah dan Tiong.
DAS 3: dikenali juga sebagai Sg. Kati, jalan-jalannya dinamakan jenis-jenis pokok kayu, seperti Keranji, Jelutong dan Merbau.
Sungai Tapah: jalan-jalannya dinamakan jenis-jenis bunga, seperti Mawar, Cempaka, Bunga Raya, Dahlia dan Melor.
Sungai Tapah Tambahan: jalan-jalannya dinamakan jenis-jenis ikan, seperti Tapah, Puyu, Kelah dan Toman.
Sungai Tapah Seberang: jalan-jalannya dinamakan pahlawan Melayu, seperti Megat Terawis, Dato' Sagor, Tun Terang dan Alang Ishak.
Jelapang Baru: Sama seperti TH Lama dan DAS 1, jalan-jalannya dinamakan dengan satu nama sahaja - Cenderawasih dan bilangannya.
Peta di bawah menggambarkan setiap sub-kampung di dalam Gugusan Manjoi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan