Ahad, 25 Mac 2012

07 di kuala kangsar - Google Blog Search

07 di kuala kangsar - Google Blog Search


Cikgu Halijah Mahmud: <b>Kuala Kangsar</b>

Posted: 23 Mar 2012 05:36 AM PDT


Dilahirkan kira-kira 45 tahun dahulu, Kuala Kangsar tetap mekar di hatiku meski aku tidak lagi bermastautin di sana. Sebenarnya aku masih mempunyai kakak, abang dan adik di kampong kelahiranku, Kati. Selain mereka, keluarga sebelah bapa dan ibuku juga masih di sana. Cuma sebaik sahaja berkahwin aku meninggalkan Bandar Diraja Kuala Kangsar kerana mengikut suami ke utara Tanah Air. Bekerja dan seterusnya menetap di Alor Setar. Malah kemudiannya melahirkan seorang putera dan 3 puteri di sini.
Meskipun begitu lama meninggalkan Kuala Kangsar namun bagiku Kuala Kangsar cukup banyak menyimpan memori ketika aku melangkah ke alam remaja. Aku masih ingat semasa kecil, sekiranya ingin ke Kuala Kangsar emak akan membawa kami menaiki bas. Sebelum balik kami sempat menjamu selera makan laksa dan ais kacang di warung tepi jalan. Kalau tidak menjamah laksa dan ais kacang di situ sperti tidak lengkap perjalanan ke Kuala Kangsar. Sebenarnya bukan kami sahaja yang akan singgah di gerai tepi jalan itu. Semua orang baik dari Karai, Sayong, Ribu, Lubuk Merbau semuanya akan singgah di situ dahulu. Kiranya gerai tepi jalan dekat jam besar itu tempat pertemuan - nadi Kuala Kangsar zaman itu. Sebenarnya dulu Kuala Kangsar bukan seperti sekarang. Gerai menjual laksa dan ais kacang cukup hampir dengan bulatan hala ke Bukit Candan dan berhampiran pejabat pos. Di bahagian depannya ada deretan kedai. Di situlah aku menunggu bas Pak Nun bersama-sama kawan-kawan untuk ke Sekolah Menengah Bukit Merchu ketika menyambung pelajaran ke Tingkatan 6.
Namun sekarang Kuala Kangsar sudah banyak berubah, reka bentuk dan bangunannya sudah jauh maju berbanding dulu. Gerai laksa dan ais kacang sudah tidak ada di kawasan yang aku katakan tadi. Malahan bertambah lagi beberapa gerai di lembah dalam satu bangunan yang cukup indah. Ramai orang akan ke 'lembah' setiap kali ke Kuala Kangsar. Sambil membeli-belah labu sayong yang begitu popular di Kuala Kangsar, ada juga orang membawa anak mereka menaiki bot menyusuri Sungai Perak - melihat keindahan pekan Kuala Kangsar dan juga istana Iskandariah yang gah tersergam di atas bukit. Cantik dan mempersona.
Demikianlah Kuala Kangsar tempat aku dilahirkan kira-kira 45 tahun dahulu. Meski telah meninggalkannya begitu lama namun, Kuala Kangsar tetap segar dalam ingatan. Bak kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang...".. Moga Kuala Kangsar akan terus berkembang sesuai dengan perkembangan dan peredaran zaman..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan