Khamis, 14 Mac 2013

07 di changkat keruing - Google Blog Search

07 di changkat keruing - Google Blog Search


DUNIA ITU: Ketua Cawangan MCA <b>Changkat Keruing</b> Mati Dibunuh

Posted: 31 Jul 2010 04:38 AM PDT

LUMUT: Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam perigi di sebuah ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Ayer Tawar dekat sini pada Sabtu.

Mayat Lim Ping Peng, 49, ditemui pada kira-kira pukul 6 pagi ini oleh anggota keluarga dan pasukan Rela yang mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata Lim sebelum itu keluar dari rumah untuk ke ladang ternakan ayam miliknya di Changkat Keruing yang terletak tidak jauh dari rumahnya pada pukul 8 pagi semalam.

"Mangsa yang baru lima hari dilantik sebagai anggota Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum ahli keluarga bertindak membuat laporan polis semalam.

"Selain melaporkan kejadian itu kepada polis, mereka (anggota keluarga mangsa) turut berusaha mengesan mangsa di ladang ternakan ayam itu," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohd Jamil berkata mayat Lim ditemui dalam keadaan kepala di bawah dan kaki ke atas dalam perigi yang mempunyai kedalaman lima meter itu, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam perigi itu.

Beliau berkata dua pekerja ladang ternakan ayam itu yang merupakan rakyat Myanmar tidak dapat dikesan dan siasatan awal polis juga mendapati kereta pacuan empat roda milik Lim juga hilang.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan kedua-dua pekerja ladang ayam yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, katanya.

Mayat Lim dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

Isteri mangsa Ling Mooi Kooi, 47, berkata kira-kira seminggu lepas, dua rakyat Myanmar datang berjumpa suaminya untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 tetapi suaminya hanya bersetuju memberikan RM500 dan beliau tidak tahu sama ada wang itu telah diberikan atau tidak.

Beliau berkata apabila suaminya tidak pulang selepas pukul 6 petang semalam dan cubaan untuk menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal, beliau meminta bantuan anggota keluarga dan pasukan Rela untuk mencari Lim.

"Mayat suami saya ditemui apabila seorang daripada kumpulan mencari ternampak kaki suami saya terkeluar sedikit daripada perigi itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - BERNAMA

31 Jul 2010

Dihumban ke dalam perigi selepas dibunuh

MAYAT Ting Peng yang ditemui mati setelah dihumban ke dalam perigi yang terletak di dalam ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing, Beruas semalam.


BERUAS - Kecelakaan menimpa Lim Ting Peng, 49, yang ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Dia dipercayai dibunuh oleh pekerja warga asing yang digajinya di sebuah ladang ternakan ayam dan itik miliknya di Changkat Kruing dekat sini semalam.

Mangsa yang didapati hilang oleh keluarga sejak lewat petang kelmarin ditemui terapung di dalam sebuah perigi di ladang ternakan itu oleh pasukan pencari terdiri daripada polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kejadian itu disyaki bermotifkan pembunuhan kerana dua pekerja warga negara Myanmar yang baru bekerja di ladang itu sejak setengah bulan lalu menghilangkan diri.

Katanya, polis juga mengesan beberapa tompok darah dipercayai milik Ting Peng di sekitar kawasan pondok di ladang ternakan terbabit.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di kepala sebelum dihumbankan ke dalam perigi.

"Sebuah kereta Nissan Fortuna milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh dua pekerja ladang ternakan itu.

"Bagaimanapun setakat ini motif kejadian sedang disiasat dan gerakan mencari warga asing terbabit sedang dijalankan," katanya.

Kosmo Online
1 Ogos 2010

Ahli majlis mati dihentak benda keras

Ling Mooi Kooi (kiri) hadir bersama anaknya, Tommy Lim di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menuntut mayat Lim Ting Peng di Ipoh, semalam.


IPOH 1 Ogos - Hasil bedah siasat terhadap mayat Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Lim Ting Peng yang dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam perigi semalam mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras di belakang kepalanya.

Malah, pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan kejam ke atas Ketua MCA cawangan Changkat Keruing itu turut menemui batang tukul besi di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa itu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan batang tukul besi yang ditemui itu digunakan dalam pembunuhan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ting Peng, 49, ditemui mati dibunuh di dalam perigi di ladang ternakan ayam miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing, Manjung.

Mayat mangsa ditemui anak lelakinya, Tommy Lim, 18, yang turut serta dalam operasi mencari bapanya yang hilang.

Sebelum itu, mangsa yang memandu sendirian keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang kelmarin untuk bertemu dengan dua pekerja warga Myanmar di ladang ternakan ayam tersebut.

Sementara itu, Mohd. Jamil berkata, kenderaan mangsa iaitu Nissan Frontier telah ditemui kira-kira pukul 9 pagi ini di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan polis, kita menemui sebuah telefon bimbit, dipercayai milik salah seorang pekerja mangsa yang sehingga kini menghilangkan diri.

"Kita dapati beberapa panggilan telah dibuat oleh pemilik telefon itu di sekitar kawasan Pantai Remis," ujar beliau.

Pihak polis juga, katanya, menemui beberapa kesan cap jari tetapi belum dapat disahkan pemiliknya di dalam kenderaan mangsa.

Sehingga kini, Mohd. Jamil berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan tersebut dan usaha untuk menjejaki kedua-dua pekerja mangsa bagi membantu siasatan giat dijalankan.

Utusan
1 Ogos 2010

Kereta mangsa bunuh ditemui

IPOH: Kereta milik Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang mati dibunuh dengan mayatnya dicampakkan ke dalam telaga di ladang ternakan ayam dalam kawasan kebun kelapa sawit miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing di Manjung kelmarin, ditemui pagi semalam di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

Turut ditemui dalam kereta mendiang Lim Teng Peng, 49, ialah sebuah telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada dua pekerja mangsa dari Myanmar yang masih gagal dikesan sejak kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata hasil penemuan itu, usaha mengesan kedua-dua warga Myanmar berkenaan kini diperluaskan bagi membantu siasatan.

myMetro
2 Ogos 2010

Pesanan mendiang sebagai perangsang

CHANGKAT KERUING - Kehidupan mesti diteruskan walaupun dugaan datang melanda", begitulah nasihat yang sering dipesan oleh mendiang ketua cawangan MCA Kampung Changkat Keruing, Ayer Tawar, Lim Ting Peng yang dijumpai dibunuh Sabtu lalu kepada isterinya, Lim Mooi Kooi.

Mooi Kooi juga berkata, kini nasihat mendiang suaminya itu menjadi kata-kata perangsang untuk dirinya dan keluarga meneruskan kehidupan mereka.

Menurutnya, kini, dia mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga bagi memastikan ketiga-tiga anaknya berjaya dalam pelajaran yang menjadi harapan mendiang suaminya.

"Malah ketiga-tiga anak kami masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang memerlukan perbelanjaan yang besar," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.

Moi Kooi berkata, mendiang suaminya itu adalah seorang yang mementingkan keluarga dan tidak pernah memarahi anak-anaknya sebaliknya menasihati mereka.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kematian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat setempat dan juga Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Beliau berkata, mendiang telah menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis dengan cemerlang dan efisien dalam membangunkan kawasan seliaannya di Changkat Keruing.

"Beliau telah banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk. Diharap keluarga mendiang dapat menerima kejadian ini sebagai takdir dan bersabar dengan dugaan besar ini.

"Saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini dari pelbagai sudut hingga tertangkapnya suspek," katanya.

Beliau turut memberikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada keluarga mendiang selepas menziarahi keluarga itu.

Sinar Harian
4 Ogos 2010

Fotofit warga Myanmar

SERI MANJUNG – Polis Daerah Manjung terus mencari dua lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes bunuh Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Lim Ting Peng, 49, yang ditemui dalam perigi tidak jauh dari ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, menerusi hasil maklumat daripada siasatan, pihak polis berjaya membuat fotofit suspek yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

Menurutnya, fotofit yang berjaya dibuat itu adalah kedua-dua lelaki warganegara Myanmar yang dipercayai pekerja ladang ternakan ayam Ong Lai milik mangsa.

"Kedua-dua suspek ini mempunyai ciri seperti ketinggian sederhana, berkulit sawo matang dan berambut pendek," katanya ketika dihubungi :Sinar Harian: di sini, semalam.

Mohd Jamil berkata, pihak polis telah menahan tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan.

"Tiga lelaki warga Myanmar ditahan Isnin lalu manakala lelaki tempatan ditahan kelmarin di Pantai Remis dan soal siasat masih diteruskan.

Katanya, pihaknya masih mencari dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu dan maklumat orang awam diperlukan bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

"Oleh yang demikian, orang awam mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek boleh menghubungi Ketua Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin di talian 05- 6899222 sambungan 9091.

"Pihak polis akan memberikan kerjasama penuh kepada orang awam yang membuat laporan terhadap aktiviti yang mencurigakan sekitar Manjung," katanya.

Sinar Harian
5 Ogos 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan