Sabtu, 9 Julai 2011

07 di menglembu - Google Blog Search

07 di menglembu - Google Blog Search


Sisa radioaktif masih bertaburan <b>di</b> Bukit Merah

Posted: 05 May 2011 07:00 PM PDT

Pada 28 tahun yang lalu, Ng Toong Foo, seorang peniaga berusia 38 tahun ketika itu, menerima tawaran projek pengendalian sisa kilang daripada Asian Rare Earth, kerana tertarik dengan harga tawaran yang tinggi.  Beliau mengupah empat orang pekerja, termasuk tiga orang pemandu lori dan seorang pemandu jentolak untuk mengangkut sisa buangan dari kilang.

Cecair sisa itu mengalir sepanjang proses pengangkutan, namun tidak dipeduli oleh sesiapapun.

Sehinggalah pada tahun 1984, apabila penduduk Bukit Merah, Papan, Menglembu dan lain-lain tempat bangkit menentang Asian Rare Earth kerana menghasilkan sisa yang toksik ketika pemprosesan rare earth, barulah Ng sedar.  "Baja" yang dimaksudkan rupa-rupanya thorium yang mempunyai radioaktif!

Apa yang mengejutkan, pihak yang berkenaan tidak memanggil Ng untuk menunjukkan lokasi di mana sisa itu dibuang, selepas pendedahan ini pada tahun 1985.  Justeru itu, sebahagian sisa tersebut masih berselerak di sekitar kawasan kilang Asian Rare Earth.  Menurut laporan akhbar ketika itu, Ng berkata sisa thorium itu bertaburan di kawasan bekas lombong, kebun, tepi kawasan perumahan dan jalan raya di sekitar Menglembu, Lahat, Jelapang, Pengkalan, Buntong, Simpang Pulai dan lain-lain lagi.

Lokasi buangan sisa

MerdekaReview telah berjaya menemui Ng Toong Foo di Menglembu, untuk mengimbas pengalamannya 20 tahun yang lalu.  Bagaimanapun, beliau enggan diambil gambar oleh wartawan.  Ng membawa wartawan ke lokasi di mana beliau membuang sisa tersebut.  Sepanjang perjalanan, beliau berkata, "situ ada", "sana pun ada"... nampaknya taburan sisa kimia tersebut agak meluas.

Sisa thorium dibuang di kawasan yang mana orang berulang-alik.  Kawasan ini adalah paya ketika sisa dibuang, dan kini sudah ditumbuh rumput.  Sukar untuk dikesan melalui mata kasar apakah yang pelik dengan rumpun tersebut.  Seandainya Ng tidak menunjukkan kami kawasan di mana lokasi pembuangan sisa itu berdasarkan ingatannya, tiada orang yang tahu bahawa sisa buangan itu berada di situ.

Paling mengejutkan, walaupun Ng telah mendedahkan di mahkamah bahawa pihak kilang tidak menetapkan tempat buangan sisa tersebut, dan beliau hanya membuang di merata-rata, namun tiada pihak yang berkenaan menghubungi Ng untuk meminta agar beliau menunjukkan lokasi buangan tersebut - sepanjang 25 tahun ini.  Lantaran daripada itu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan pihak berkenaan yang lain nampaknya tidak memandang berat masalah sisa yang mempunyai radioaktif ini.

Menurut laporan Sin Chew Jit Poh pada 30 Oktober 1986, pakar radioaktif dari Jepun, Sadao Ichikawa ketika membuat kajian di kawasan pembuangan sisa muatan dua lori itu, mendapati paras radioaktif adalah lima kali ganda lebih tinggi dari paras selamat.  Selain itu, beliau berkata sisa thorium itu tidak akan hilang walaupun dibasahi air hujan, sukar dikesan apabila sebati dengan tanah, malah akan mengeluarkan bau.  Jadi ia belum terjamin bahawa kesihatan manusia tidak akan terancam jikapun disimpan dalam "gedung" tertentu.

Jadi, penduduk kawasan tersebut masih terdedah kepada ancaman radioaktif.  Tan Ka Kheng berkata, mangsa pertamanya adalah petani yang berkebun di situ jikalau sisa thorium tidak dikendalikan dengan baik.  Keduanya, radioaktif tersebut akan masuk ke dalam rantaian makanan melalui sayuran, dan seterusnya mengancam kesihatan penduduk.

Tiga daripada empat mati

Ketika mengimbas peristiwa 28 tahun yang lalu, "sisa ketakutan" masih terpendam dalam hati.  Menurut Ng Toong Foo, tiga daripada empat orang pekerjanya telah meninggal dunia pada usia yang muda, iaitu beberapa tahun selepas bekerja dengannya.  Ng pernah mengadu di mahkamah bahawa terdapat bintik merah pada tubuhnya.  Kini, terdapat pula bintik putih pada tangan, kaki, tepi bibir, dan tepi matanya.

Beliau enggan diambil gambar.  Ketika ditanya apakah puncanya, beliau berkata, "Tiada pun seorang dalam pertalian keluarga saya mempunyai benda (bintik putih) ini."

Beliau pernah memegang sisa toksik itu dengan tangan sendiri, dan beliau mengesyaki bahawa itulah puncanya bintik putih pada badannya.  Malah, beliau kini menghadapi masalah bernafas.

Beliau telah bekerja sebagai kontraktor untuk lebih 40 tahun.  Beliau berkata dirinya tertarik dengan harga tawaran kilang tersebut, maka terus menerima projek itu.  Pihak yang berunding dengannya hanya memberitahu bahawa sisa itu adalah "kek thorium" (thorium cake), tanpa menjelaskan apakah itu sebenarnya, malah juga tidak memberitahu di mana sisa itu harus dibuang.

Ng yang tinggal di Menglembu memberitahu MerdekaReview, pihak kilang memaklumkannya bahawa sisa ini boleh dijadikan "baja".  Jadi, beliau mengangkut sisa ini ke kebun pakciknya yang berhampiran dengan kilang.  "Banyak tempat yang saya tuang (sisa itu)... Masih boleh dikorek pada hari ini".

Beliau berkata, sisa thorium itu kelihatan bagai gum, kapur, berair dan ada mendakan, baunya masam.  Tikus dan lipas di kawasan buangan sampah hilang begitu sahaja apabila Ng membuang sisa itu ke kawasan itu, malah sayuran yang "dibajai" sisa thorium ini sangat "cantik" (kerana tiada serangga).  Namun, manusia akan berasa tidak selesa ketika mendekati bahan sisa tersebut.

Tidak akan terima projek ini kalau sedar ia beracun

Wartawan mengungkit semula peristiwa silam ini.  Selepas Ng Toong Foo mengisahkan ceritanya pada ketika itu, Pengurus Asian Rare Earth pernah menjawab bahawa Ng yang mengingkari arahan kilang dan membuang sisa thorium di merata-rata.  Menurut laporan New Straits Times pada 25 November 1986, pihak kilang mendakwa Ng menerima tawaran itu pada kemuncak perjuangan penduduk menentang kilang ini, lantas Ng seharusnya sedar akan bahayanya sisa thorium.

"Dia (pengurus) tidak berani untuk berkata sedemikian pada ketika itu.  Benda yang beracun adalah merbahaya.  Adakah dia akan berkata sesuatu yang benar?  Dia tidak mahu menulisnya dalam hitam putih.  Dia tahu bahawa kita tidak tahu," Kata Ng.

"Ia memerlukan lesen untuk menghasilkan sesuatu.  Kalau produknya beracun, maka kerajaan tidak akan meluluskan lesen kepadanya.  Benda yang diluluskan semestinya tidak akan mengancam kesihatan manusia.  Jadi, kerajaan yang menipu kami," tuduhnya.

Wartawan memetik kenyataan pihak kilang bahawa lokasi pembuangan sisa toksik ini telah ditetapkan.  Ng mempersoalkannya, "Buang di mana?  Tunjukkan saya!  Manakah lokasi pembuangannya itu?  Tunjukkan saya.  Kamu tidak tunjukkan saya, di mana lokasi yang diluluskan untuk pembungan sisa?  Hanya muncul selepas itu!"

Kilang Asian Rare Earth dibina pada tahun 1979 di kawasan perindustrian Bukit Merah, untuk mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit, menghasilkan sisa buangan radioaktif sebanyak 2,250 ton setahun.  Namun demikian, AELB belum ditubuhkan pada ketika itu, maka pihak kilang tidak perlu memohon lesen khas.

AELB ditubuhkan pada 1 Februari 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memantau keselamatan tenaga atom di seluruh negara.  Asian Rare Earth mendapat lesennya pada Disember 1986, untuk teruskan pemprosesan kilangnya, sebelum dihentikan pada Januari 1994.

Oleh itu, dalam jangka antara binanya kilang pada tahun 1979, hinggalah penggunaan tapak pembuangan sisa radiokatif pada tahun 1991, sisa buangan kilang Asian Rare Earth tidak dikendalikan dengan baik.  Kalau bukan pendedahan Ng Toong Foo, kita tidak tahu bahawa sisa buangan radioaktif ini dikendalikan dengan cara yang sambil lewa.

Kerajaan menganggap isu rare earth telah melabuh tirai selepas tutupnya kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah.  Padahalnya, sisa buangan ini belum dikendalikan dengan sebaik-baiknya, mendedahkan penduduk tempatan kepada ancaman radioaktif.

*Chan Wei See ialah Pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal. Gambar-gambar lama di atas diambil daripada Hew Yoon Tat.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan