Isnin, 18 Mac 2013

07 di sungai siput - Google Blog Search

07 di sungai siput - Google Blog Search


Rumah Adik Ketua MIC <b>Sungai Siput</b> Ditembak – Perak Today

Posted: 26 Feb 2013 01:33 AM PST

Bunyi letupan yang disangka mercun membawa kepada penemuan kesan tembakan dan beberapa butir peluru di rumah adik Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R. Murugan di Taman Jalong di Sungai Siput, Isnin malam.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, isteri Murugan, ibunya dan anak perempuan pasangan itu yang sedang tidur selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Murugan tiada di rumah.

"Masa kejadian, saya bersama abang saya Ganesan (Ketua MIC Bahagian Sungai Siput) dan dua lagi rakan sedang minum di sebuah restoran di Kantan di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada isteri saya, M. Puvaneswary.

"Isteri saya beritahu ketika mereka semua sedang tidur, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan di luar rumah. Saya meminta dia dan emak jangan keluar rumah dan tunggu sehingga saya pulang," katanya kepada pemberita di Sungai Siput, Selasa.

Katanya, sejurus tiba di rumah, isterinya memaklumkan tentang penemuan dua butir peluru yang menembusi pintu cermin rumah mereka dan tersasar ke dinding bahagian dalam.

Murugan, 40, yang juga Pengerusi Persatuan Perpaduan dan Kemajuan Rakyat Perak berkata, pemeriksaan lanjut di hadapan rumahnya menemui sebutir peluru di bawah keretanya dan beberapa kesan tembakan di pintu pagar dan di bahagian keretanya.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini rumahnya pernah disimbah cat dan dibaling batu.

"Saya terkejut kejadian ini berlaku kerana inilah kejadian yang paling serius. Isteri, emak dan anak saya pun rasa takut," katanya yang menetap di rumah teres dua tingkat itu sejak 25 tahun lepas.

Beliau juga percaya kejadian tersebut bermotifkan politik.

Menceritakan kejadian, Puvaneswary, 30, berkata bunyi letupan itu pada mulanya disangkakan mercun kerana anak jirannya selalu bermain mercun di hadapan rumah.

"Ketika kejadian saya tidur di bahagian atas bersama anak saya dan emak tidur di bahagian bawah rumah. Selepas terdengar bunyi letupan saya lihat di pintu cermin rumah ada dua kesan pecah dan saya terus telefon suami saya," katanya.

Ibunya, M. Mariamah, 67, berkata kebiasaannya pada setiap malam dia tidur lewat kerana menonton televisyen namun malam tadi tergerak hati untuk tidur awal.

"Biasanya saya tidur lambat sebab tengok televisyen sehingga pukul 2 pagi, malam tadi tiba-tiba rasa mengantuk dan tidur awal," katanya yang terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan sedang menyiasat kes tersebut daripada pelbagai sudut.

"Pasukan forensik menemui beberapa butir dan kelongsong peluru di dalam dan luar rumah terbabit," katanya.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan