Rabu, 23 Mei 2012

07 di kuala sepetang - Google Blog Search

07 di kuala sepetang - Google Blog Search


Asam Garam 2 PUTERI: <b>Kuala Sepetang</b>/Port Weld dan Matang Perak

Posted: 22 May 2012 06:20 PM PDT


Assalamualaikum...

Balik dari hantar produk Sos Char Kueyteow 2 Puteri kat Mydin Hypermarket Terminal 2 Seremban ni saya nak cerita pulak pasal cerita tempat-tempat menarik di Perak ni. Kali ni sambung cerita pasal Kuala Sepetang atau lebih dikenali dengan nama Port Weld oleh datuk nenek kita dodulu. Tu hari ada janji kan nak sentuh pasal pekan ni yang terletak di Daerah Larut Matang Selama ni dalam Mukim Jebong.

*********************************************


Matang dan Kuala Sepetang adalah dua penempatan kecil yang terletak dalam daerah Larut Matang, Perak. Letaknya lebih kurang 15 km dari Bandar Taiping. Matang terletak dalam Mukim Simpang manakala Kuala Sepetang dalam Mukim Jebong. Dari segi pentadbiran, kedua-duanya adalah di bawah Majlis Perbandaran Taiping.

 
Penduduk Kuala Sepetang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perikanan sebagai nelayan dan peniaga. Sementara majoriti penduduk Matang adalah orang Melayu yang bekerja di sektor pertanian dan perikanan.

Kedua-dua Matang dan Kuala Sepetang merupakan petempatan yang unik. Matang adalah pekan Melayu lama yang wujud sebelum pembukaan Taiping . Kota Ngah Ibrahim, Rumah Kapten Speedy, Balai Penghulu dan Masjid Tengku Menteri adalah beberapa contoh bangunan bersejarah yang masih wujud dan terpelihara di Matang.


Rumah Majistret Pertama, Sekolah Rendah Terawal dan Rumah Pam Minyak Pertama adalah antara bangunan warisan yang dikenal pasti menjadi bangunan terpenting pada zaman dulu sebagai tonggak utama pembentukan pekan Matang ketika zaman pemerintahan Ngah Ibrahim (1836-1895).

Sebenarnya nama Kuala Sepetang ni adalah nama asalnya yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Tapi masuk je British ke bumi Perak ni diarang tukarkan nama tu ke nama Port Weld. Bertukarlah nama Kuala Sepetang kepada Port Weld. Menjadi kelaziman pegawai British untuk menamakan sesuatu tempat, bangunan dan jalan raya mengunakan nama sahabat-sahabat mereka dari British.

Nama 'Weld' diambil daripada nama Sir Frederick Weld yang telah tiba di Taiping pada tahun 1881. Nama Sir Frederick Weld ni pun diabadikan pada Jalan Weld Road (Jalan Raja Chulan) di Kuala Lumpur. Upper Weld Road di Singapura dan Weld Quay di Pulau Pinang.



Kawasan ini adalah letaknya landasan keretapi pertama Tanah Melayu menghubungkan Port Weld - Taiping . Ia dibina bermula tahun 1882 oleh Residen British di Perak ketika itu iaitu Sir Hugh Low dengan kos sekitar Rm37 ribu dan mula dibuka pada tahun 1885.
 

Kuala Sepetang ini sebenarnya adalah tanah rizab milik Keretapi Tanah Melayu sejak tahun 1941. Penduduk yang tinggal disini membayar cukai premium kepada KTM namun majoriti penduduk tinggal secara haram atau digelar setinggan.Namun, awal tahun ni kerajaan Perak mengambil tanah rizab KTM melayu ini untuk diberikan percuma kepada setinggan-setinggan ini tanpa sebarang pampasan kepada KTM walaupun perlembagaan mengatakan nilai tanah adalah RM37 juta.

Di Matang, terdapat sebuah Muzium Ngah Ibrahim yang kukuh struktur bangunannya di mana persekitarannya terbentang perkampungan orang Melayu. Dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim yang terletak di Bukit Gantang, Matang (dulu Permatang), Perak, telah dibina oleh Ngah Ibrahim.

Muzium ini adalah merupakan sebuah bangunan yang beliau jadikan sebagai rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada batu batan sahaja. Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922).


Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1913-1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984). Kota ini dijadikan Muzium Sejarah Matang hingga sekarang mulai tahun 1985 setelah ianya diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti).
Ngah Ibrahim ialah anak kepada Che Long Jaafar dan pembesar Melayu Perak yang memerintah Larut (1836-1895). Ayahnya Che Long Jaafar, adalah orang Melayu pertama tahun 1840 yang mula-mula menemui dan menerokai perusahaan bijih timah di Bukit Gantang, Taiping. Gelaran yang dipakai Ngah Ibrahim ialah Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Ngah Ibrahim memerintah kota Larut dengan pusat pentadbiran dan kediaman beliau dikenali Kota Ngah Ibrahim. Kekayaan beliau jelas terbukti dengan pungutan cukai bijih timah di jajahan Larut. Tinggalan Kota Ngah Ibrahim pernah dijadikan ia sebagai Maktab Perguruan, Sekolah Rendah Kebangsaan Matang dan kini dijadikan Muzium Matang.

Kuala Sepetang berkeluasan 94.5 hektar menjadi pusat aktiviti perikanan yang dinamik dan berkedudukan istimewa di muara Sungai Sepetang dan di kawasan Hutan Paya Laut Matang. Kuala Sepetang dan Hutan Paya Laut Matang, tidak asing bagi pencinta alam di dalam dan luar negara.


Di situ terdapat sebuah Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang. Pusat ini sebenarnya berkeluasan 101,877 hektar dengan mempunyai 198 hutan simpanan kekal. Menjadi destinasi utama Eko Pelancongan Negeri Perak, Hutan Paya Laut Matang juga tersenarai dalam Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan. Ia juga direkodkan sebagai hutan Malaysia yang diurus terbaik di dunia
Lawatan pelancong dan pengunjung luar tertumpu kepada eko-pelancongan dengan pelbagai aktiviti seperti Hutan Simpanan Dara (Virgin Jungle Reserve), Hutan Pelajaran dan Penyelidikan (Eko-Pelajaran), kawasan proto sejarah di Pulau Kelumpang, kegiatan menangkap kerang, kilang dapur arang kayu, perkampungan nelayan, penternakan ikan dalam sangkar dan aktiviti menyusuri sungai.
Antara spesis pokok bakau yang tumbuh adalah bakau Minyak (Rhizophora Apiculata), Kurap (Rhizophora mucronata), Temu, dan Lenggadai. Terdapat 3 zon di Hutan Paya Laut Matang iaitu zon pengeluaran, zon perlindungan dan zon tak produktif.

Bagi yang berminat menyusuri muara sungai Kuala Sepetang juga boleh berbuat demikian dengan menaki bot yag disewakan. Di sini pelancong boleh melihat tumbuhan bakau sepanjang pesisiran sungai sehingga ke perkampungan nelayan yang terkenal dengan pusat aktiviti perikanan. Di sini keluarga nelayan terdiri kaum Cina dan bangsa Melayu dengan kaum Cina menjadi majoriti nelayan di perkampungan ini. Melihatkan bot nelayannya yang beraneka warna memang menarik.
Kuala Sepetang adalah tempat hutan kayu bakau terbesar di malaysia dan diwartakan sebagai hutan bakau simpanan. Hutan paya bakau ini diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Matang. Oleh itu ia terkenal dengan industri pengeluaran arang, selain daripada sektor perikanan. Arang yang dibakar daripada Kayu Bakau.

Kilang arang kayu di Kuala Sepetang memang tersohor dengan kerja-kerja pembakaran arang dari kayu bakau sejak 1930an lagi. Kegiatan tradisi ini, hari ini diteruskan oleh keluarga mereka. Mengikut apa yang dikatakan oleh pekerja-pekerja kilang arang ini, selain daripada kegunaan domestik  arang-arang ini akan dibungkuskan dan dipasarkan ke Korea dan Jepun bagi tujuan pembuatan alat-alat solek.

Kayu dari jenis bakau Minyak dan Kurap memang sesuai dibuat arang. Pekilang di sini masih menggunakan kaedah tradisional dalam mengangkut kayu yang ditebang dan tidak menggunakan lori. Ianya diangkut menggunakan bot melalui suatu laluan air di tengah-tengah kilang. Fenomena air pasang memudahkan pembawaan kayu-kayu bakau dari bot. Batang-batang kayu akan disiat kulitnya dahulu. Kemudian ia disusun rapi untuk dimasukkan ke dalam dapur pembakaran. Dapur pembakaran kayu di kilang ini berbentuk unik seperti reka bentuk iglu dengan warna kecoklatan.



Senibina dapur pembakar ini terdiri daripada batu-bata. Pembinaan dapur yang berbentuk iglu itu memerlukan 25,000 bongkah bata untuk membangunnya. Sebenarnya batang-batang kayu ini tidak dibakar secara langsung. Ia boleh diumpama sebagai 'kukus' bagi menyejat kandungan air dari batang dan melalui beberapa prosedur pembakarannya.

Di sebalik kekayaan alam yang dimilikinya, Kuala Sepetang dan Kuala Sanggar turut mempunyai keunikan tersendiri yang masih ramai tidak ketahui iaitu perairannya ia sering menjadi tumpuan ikan dolfin atau ikan lumba-lumba. Ia sangat jinak dan suka mengekori bot nelayan yang pulang dari laut menuju ke kuala boleh memberi peluang kepada pelangcong untuk bermesra dengannya. Namun walaupun ikan lumba-lumba ini memang sering bermain di kawasan ini, tetapi untuk berjumpa dengannya, itu bergantung kepada nasib. Ada yang pulang kehampaan selepas puas menunggu lama.
Setelah penat melancong, bolehlah melepaskan rasa lapar dan dahaga di kebanyakan kedai makan yang ada di sini. Menu utama paling dicari di sini adalah Mee Udang Banjir. Itulah menu yang rata-rata dijual oleh peniaga di sini.

Prospek Matang dan Kuala Sepetang sebagai pusat pelancongan adalah tinggi kerana terdapat begitu banyak sumber menarik yang boleh diketengahkan di kedua-dua tempat ini. Bagaimanapun sumber-sumber yang ada sehingga ini masih belum dibangunkan secara bersepadu dan juga tidak disokong dengan kemudahan dan perhubungan mahupun publisiti yang sewajarnya.

Namun menyedihkan kerana ada peninggalan sejarah di Matang yang tidak dipelihara dengan baik dan ada kesan sejarah yang berkaitan dengan Port Weld juga kian hilang. Ini satu isu utama dalam pembangunan Matang dan Kuala Sepetang. Banyak yang pihak berkuasa tempatan harus lakukan untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku. Sayang sejarah kegemilangan Kuala Sepetang ini akan hilang jika tidak dilakukan sesuatu bermula dari sekarang.


Pencerobohan hutan paya laut sudah berlaku dan akan terus berlaku jika tidak dikawal sewajarnya. Pembangunan yang tidak terkawal akan mengancam hutan paya laut yang menyokong aktiviti perikanannya. Akhirnya akan terjejas sekiranya keadaan sedemikian dibiarkan berlarutan.

Sementara keadaan penempatan yang sesak dan tidak teratur menyukarkan penyediaan kemudahan dan sistem perkhidmatan yang berkesan. Mengambil peluang daripada prospek dan menangani isu yang ada, perancangan yang khusus perlu dibuat bagi Matang dan Kuala Sepetang.

Khabarnya satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) Matang Kuala Sepetang 2015 disediakan sebagai satu pelan tindakan bagi membangunkan Matang dan Kuala Sepetang. RKK ini disediakan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Taiping. Rancangan Kawasan Khas adalah merupakan satu rancangan statutori yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172. Akta ini memperuntukkan supaya RKK mengandungi cadangan-cadangan tindakan khusus yang terperinci bagi tujuan memajukan, memajukan semula, memperelokkan, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.


RKK Matang Kuala Sepetang menganjurkan supaya pembangunan bagi kawasan Matang dan Kuala Sepetang bertemakan Desa Pelancongan Warisan. Wawasan utamanya untuk menjadikan Matang dan Kuala Sepetang sebagai kawasan desa pelancongan warisan yang berdaya maju selaras dengan Wawasan Perak Maju 2015. Dalam merangka rancangan ini beberapa perkara menjadi asas pertimbangan;

• Pengekalan alam semulajadi, tumbuh-tumbuhan dan keadaan persekitaran.
• Penekanan kepada elemen pelancongan, reka bentuk perbandaran, landskap dan rekreasi.
• Pemeliharaan bangunan warisan dan kesan-kesan sejarah yang penting.

Semoga dengan adanya kesedaran dalam memelihara semula warisan negeri ini melalui penubuan Rancangan Kawasan Khas Matang Kuala Sepetang ini dapat menambah lagi kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke sana. Dengan itu pengaliran wang akan bertambah untuk faedah negeri juga.


http://udeyismail.net/travelogue/kilang-arang-kuala-sepetang
http://fireflyzone.blogspot.com/2009/06/matang-dan-kuala-sepetang.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan