Assalamualaikum...
Balik dari hantar produk Sos Char Kueyteow 2 Puteri kat Mydin Hypermarket Terminal 2 Seremban ni saya nak cerita pulak pasal cerita tempat-tempat menarik di Perak ni. Kali ni sambung cerita pasal Kuala Sepetang atau lebih dikenali dengan nama Port Weld oleh datuk nenek kita dodulu. Tu hari ada janji kan nak sentuh pasal pekan ni yang terletak di Daerah Larut Matang Selama ni dalam Mukim Jebong.
                *********************************************
    Matang dan Kuala Sepetang adalah dua penempatan kecil yang terletak   dalam daerah Larut Matang, Perak. Letaknya lebih kurang 15 km dari 
Bandar Taiping. Matang terletak dalam Mukim Simpang manakala Kuala   Sepetang dalam Mukim Jebong. Dari segi pentadbiran, kedua-duanya adalah   di bawah 
Majlis Perbandaran Taiping.   
Penduduk Kuala Sepetang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang sudah   lama berkecimpung dalam bidang perikanan sebagai nelayan dan peniaga.   Sementara majoriti penduduk Matang adalah orang Melayu yang bekerja di   sektor pertanian dan perikanan.
Kedua-dua Matang dan Kuala Sepetang merupakan petempatan yang unik.   Matang adalah pekan Melayu lama yang wujud sebelum pembukaan Taiping .   Kota Ngah Ibrahim, Rumah Kapten Speedy, Balai Penghulu dan Masjid Tengku   Menteri adalah beberapa contoh bangunan bersejarah yang masih wujud dan   terpelihara di Matang.
  Rumah Majistret Pertama, Sekolah Rendah Terawal   dan Rumah Pam Minyak Pertama adalah antara bangunan warisan yang dikenal   pasti menjadi bangunan terpenting pada zaman dulu sebagai tonggak utama   pembentukan pekan Matang ketika zaman pemerintahan Ngah   Ibrahim (1836-1895).
Sebenarnya nama Kuala Sepetang ni adalah nama asalnya yang telah   diisytiharkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Tapi masuk je British ke bumi   Perak ni diarang tukarkan nama tu ke nama Port Weld. Bertukarlah nama   Kuala Sepetang kepada Port Weld. Menjadi kelaziman pegawai British   untuk menamakan sesuatu tempat, bangunan dan jalan raya mengunakan nama   sahabat-sahabat mereka dari British.
Nama 'Weld'   diambil daripada nama Sir Frederick Weld yang telah tiba di Taiping pada tahun 1881. Nama Sir Frederick Weld ni pun diabadikan pada Jalan   Weld Road (Jalan Raja Chulan) di Kuala Lumpur. Upper Weld Road di   Singapura dan Weld Quay di Pulau Pinang.
  Kawasan ini adalah letaknya landasan keretapi pertama Tanah Melayu   menghubungkan Port Weld - 
Taiping . Ia dibina bermula tahun 1882 oleh Residen   British di Perak ketika itu iaitu Sir Hugh Low dengan kos sekitar Rm37 ribu dan mula   dibuka pada tahun 1885.    
Kuala Sepetang ini sebenarnya adalah   tanah rizab milik Keretapi Tanah Melayu sejak tahun 1941. Penduduk yang   tinggal disini membayar cukai premium kepada KTM namun majoriti penduduk   tinggal secara haram atau digelar setinggan.Namun, awal tahun ni kerajaan Perak mengambil tanah rizab KTM melayu ini untuk   diberikan percuma kepada setinggan-setinggan ini tanpa sebarang pampasan   kepada KTM walaupun perlembagaan mengatakan nilai tanah adalah RM37 juta.      
Di Matang, terdapat sebuah Muzium Ngah Ibrahim yang kukuh struktur bangunannya di   mana persekitarannya terbentang perkampungan orang Melayu. Dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim yang   terletak di Bukit Gantang, Matang (dulu Permatang), Perak, telah dibina   oleh Ngah Ibrahim.
Muzium ini adalah merupakan sebuah bangunan yang beliau jadikan sebagai   rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan   seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan-bahan   yang terdiri daripada batu batan sahaja. Setelah Ngah Ibrahim meninggal   dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah   pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab   Perguruan Melayu Matang (1913-1922).
  Selepas itu dijadikan pula sebagai   Sekolah Melayu (1913-1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah   Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun.   Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun   1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984). Kota   ini dijadikan Muzium Sejarah Matang hingga sekarang mulai tahun 1985   setelah ianya diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya   dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti).
Ngah Ibrahim   ialah anak kepada Che Long Jaafar dan pembesar Melayu Perak yang   memerintah Larut (1836-1895). Ayahnya Che Long Jaafar, adalah orang Melayu pertama tahun 1840 yang   mula-mula menemui dan menerokai perusahaan bijih timah di Bukit   Gantang, 
Taiping. Gelaran yang dipakai Ngah Ibrahim ialah Orang Kaya   Menteri Paduka Tuan.
Ngah Ibrahim memerintah kota Larut dengan pusat   pentadbiran dan kediaman beliau dikenali Kota Ngah Ibrahim. Kekayaan   beliau jelas terbukti dengan pungutan cukai bijih timah di jajahan   Larut. Tinggalan Kota Ngah Ibrahim pernah dijadikan ia sebagai Maktab   Perguruan, Sekolah Rendah Kebangsaan Matang dan kini dijadikan Muzium   Matang.
Kuala Sepetang berkeluasan 94.5 hektar menjadi pusat aktiviti   perikanan yang dinamik dan berkedudukan istimewa di muara Sungai   Sepetang dan di kawasan Hutan Paya Laut Matang. Kuala Sepetang dan Hutan   Paya Laut Matang, tidak asing bagi pencinta alam di dalam dan luar   negara.
  Di situ terdapat sebuah 
Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang. Pusat ini sebenarnya berkeluasan 101,877   hektar dengan mempunyai 198 hutan simpanan kekal. 
Menjadi destinasi utama Eko Pelancongan Negeri Perak, Hutan Paya Laut Matang juga tersenarai dalam Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan. Ia juga direkodkan sebagai hutan Malaysia yang diurus terbaik di dunia  
Lawatan pelancong dan pengunjung luar tertumpu kepada eko-pelancongan dengan pelbagai aktiviti seperti Hutan Simpanan Dara   (Virgin Jungle Reserve), Hutan Pelajaran dan Penyelidikan   (Eko-Pelajaran), kawasan proto sejarah di Pulau Kelumpang, kegiatan   menangkap kerang, kilang dapur arang kayu, perkampungan nelayan, penternakan   ikan dalam sangkar dan aktiviti menyusuri sungai.   
Antara spesis pokok bakau yang tumbuh adalah bakau Minyak (Rhizophora   Apiculata), Kurap (Rhizophora mucronata), Temu, dan Lenggadai. Terdapat 3 zon di Hutan Paya Laut Matang iaitu zon pengeluaran, zon perlindungan dan zon tak produktif.    
Bagi yang berminat menyusuri muara sungai Kuala Sepetang juga boleh berbuat demikian dengan menaki bot yag disewakan. Di sini pelancong boleh melihat tumbuhan bakau sepanjang pesisiran sungai sehingga ke perkampungan nelayan yang terkenal dengan pusat aktiviti perikanan. Di sini keluarga nelayan terdiri kaum Cina dan bangsa Melayu dengan kaum Cina menjadi majoriti nelayan di perkampungan ini. Melihatkan bot nelayannya yang beraneka warna memang menarik.  
Kuala Sepetang adalah tempat hutan kayu bakau terbesar di malaysia   dan diwartakan sebagai hutan bakau simpanan. Hutan paya bakau ini   diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Matang. Oleh itu ia terkenal dengan   industri pengeluaran arang, selain   daripada sektor perikanan. Arang yang dibakar daripada Kayu Bakau.
Kilang arang kayu di Kuala Sepetang memang tersohor dengan kerja-kerja   pembakaran arang dari kayu bakau sejak 1930an lagi. Kegiatan tradisi   ini, hari ini diteruskan oleh keluarga mereka. Mengikut apa yang dikatakan oleh pekerja-pekerja kilang arang ini, selain daripada kegunaan domestik  arang-arang ini   akan dibungkuskan dan dipasarkan ke Korea dan Jepun bagi tujuan   pembuatan alat-alat solek. 
      Kayu dari jenis bakau Minyak dan Kurap memang sesuai dibuat arang. Pekilang di sini masih menggunakan kaedah tradisional dalam mengangkut kayu yang ditebang dan tidak menggunakan lori. Ianya diangkut menggunakan bot melalui suatu laluan air di   tengah-tengah kilang. Fenomena air pasang memudahkan pembawaan kayu-kayu   bakau dari bot. Batang-batang kayu akan disiat kulitnya dahulu. Kemudian ia disusun rapi   untuk dimasukkan ke dalam dapur pembakaran. Dapur pembakaran kayu di   kilang ini berbentuk unik seperti reka bentuk iglu dengan warna   kecoklatan.
    Senibina dapur pembakar ini terdiri daripada batu-bata. Pembinaan dapur yang berbentuk   iglu itu memerlukan 25,000 bongkah bata untuk membangunnya. Sebenarnya batang-batang kayu ini tidak dibakar secara langsung. Ia boleh diumpama   sebagai 'kukus' bagi menyejat kandungan air dari batang dan melalui   beberapa prosedur pembakarannya.    
Di sebalik kekayaan alam yang dimilikinya, Kuala Sepetang dan Kuala Sanggar turut mempunyai   keunikan tersendiri yang masih ramai tidak ketahui iaitu perairannya ia sering menjadi tumpuan ikan dolfin atau   ikan lumba-lumba. Ia sangat jinak dan suka mengekori bot nelayan yang pulang dari laut menuju ke kuala boleh memberi peluang kepada pelangcong untuk bermesra dengannya. Namun walaupun ikan lumba-lumba ini memang sering bermain di kawasan ini, tetapi untuk berjumpa dengannya, itu bergantung kepada nasib. Ada yang pulang kehampaan selepas puas menunggu lama.   
Setelah penat melancong, bolehlah melepaskan rasa lapar dan dahaga di kebanyakan kedai makan yang ada di sini. Menu utama paling dicari di sini adalah Mee Udang Banjir. Itulah menu yang rata-rata dijual oleh peniaga di sini.
Prospek Matang dan Kuala Sepetang sebagai pusat   pelancongan adalah tinggi kerana terdapat begitu banyak sumber menarik   yang boleh diketengahkan di kedua-dua tempat ini. Bagaimanapun   sumber-sumber yang ada sehingga ini masih belum dibangunkan secara   bersepadu dan juga tidak disokong dengan kemudahan dan perhubungan   mahupun publisiti yang sewajarnya. 
Namun menyedihkan kerana ada peninggalan sejarah di Matang   yang tidak dipelihara dengan baik dan ada kesan sejarah yang berkaitan   dengan Port Weld juga kian hilang. Ini satu isu utama dalam pembangunan   Matang dan Kuala Sepetang. Banyak yang pihak berkuasa tempatan harus lakukan untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku. Sayang sejarah kegemilangan Kuala Sepetang ini akan hilang jika tidak dilakukan sesuatu bermula dari sekarang.
  Pencerobohan hutan paya   laut sudah berlaku dan akan terus berlaku jika tidak dikawal sewajarnya.   Pembangunan yang tidak terkawal akan mengancam hutan paya laut yang   menyokong aktiviti perikanannya. Akhirnya akan terjejas sekiranya   keadaan sedemikian dibiarkan berlarutan. 
Sementara keadaan   penempatan yang sesak dan tidak teratur menyukarkan penyediaan kemudahan   dan sistem perkhidmatan yang berkesan. Mengambil peluang daripada   prospek dan menangani isu yang ada, perancangan yang khusus perlu dibuat   bagi Matang dan Kuala Sepetang.
Khabarnya satu Rancangan   Kawasan Khas (RKK) Matang Kuala Sepetang 2015 disediakan sebagai satu   pelan tindakan bagi membangunkan Matang dan Kuala Sepetang. RKK ini disediakan   dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung   Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak dan Majlis   Perbandaran Taiping. Rancangan Kawasan Khas adalah   merupakan satu rancangan statutori yang disediakan di bawah Akta Perancangan   Bandar dan Desa 1976, Akta 172. Akta ini memperuntukkan supaya RKK   mengandungi cadangan-cadangan tindakan khusus yang terperinci bagi   tujuan memajukan, memajukan semula, memperelokkan, memulihara atau bagi   tujuan pengurusan kawasan berkenaan.
  RKK Matang Kuala Sepetang   menganjurkan supaya pembangunan bagi kawasan Matang dan Kuala Sepetang   bertemakan Desa Pelancongan Warisan. Wawasan utamanya untuk menjadikan   Matang dan Kuala Sepetang sebagai kawasan desa pelancongan warisan yang   berdaya maju selaras dengan Wawasan Perak Maju 2015. Dalam merangka   rancangan ini beberapa perkara menjadi asas pertimbangan;
• Pengekalan alam semulajadi, tumbuh-tumbuhan dan keadaan persekitaran.
• Penekanan kepada elemen pelancongan, reka bentuk perbandaran, landskap dan rekreasi.
• Pemeliharaan bangunan warisan dan kesan-kesan sejarah yang penting.
Semoga dengan adanya kesedaran dalam memelihara semula warisan negeri ini melalui penubuan Rancangan Kawasan Khas Matang Kuala Sepetang ini dapat menambah lagi kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke sana. Dengan itu pengaliran wang akan bertambah untuk faedah negeri juga.
      http://udeyismail.net/travelogue/kilang-arang-kuala-sepetang
    http://fireflyzone.blogspot.com/2009/06/matang-dan-kuala-sepetang.html