Jalan yang didakwa digunakan penceroboh untuk melalui kawasan hutan simpan tersebut
Sebahagian ahli GAML yang menyertai tinjauan ke Hutan Simpan Bukit Hijau bagi melihat sendiri keadaan sebenar kawasan tersebut.
Aktivis, Vladislar Kuta menjelaskan kepada Meor Razak berhubung situasi yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Hijau.
LENGGONG - Isu pemilikan tanah seluas 320 hektar di Hutan Simpan Bintang Hijau yang pernah diteroka untuk projek tanaman teh di bawah Kerajaan Negeri kini menjadi semakin hangat.
Pengerusi Gabungan Anak Muda Lenggong (GAML), Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin berkata, ahli GAML terpanggil untuk menuntut hak pemilikan tanah berkenaan memandangkan tanah itu terbiar sehingga menyebabkan banjir lumpur berlaku.

Menurutnya, paling ketara isu banjir lumpur melanda beberapa kampung tiga tahun lalu yang dikatakan berpunca daripada ketirisan penampan tadahan hujan semakin hilang akibat penebangan pokok tidak terkawal.

Mohon dikurniakan pemilikan

Menurutnya, sebagai generasi muda tempatan yang bergantung hidup terhadap hasil pertanian, pemilikan tanah di lokasi itu bakal memberi manfaat untuk mengubah kehidupan anak muda di kawasan itu.

"Masih ramai anak muda yang terpaksa 'berkongsi tanah' dan menumpang rumah keluarga berikutan tidak memiliki tapak rumah.

"Menyedari adanya lokasi hutan yang begini luas, bagi kami adalah tidak menjadi kesalahan untuk kita memohon kepada kerajaan agar dikurniakan pemilikan," katanya.

Tambahnya, pemilikan itu dapat membantu generasi muda membina kehidupan lebih baik, mempunyai tapak kediaman dan jaminan pendapatan melalui kerja projek kebun atau ladang.

Terdahulu, GAML juga mencadangkan kewujudan ladang ternak untuk diusahakan serta diurus selia golongan muda.

Katanya, kewujudan ladang ternak itu juga secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan penempatan bagi golongan muda kelak.

"Dengan ini, sekurang-kurangnya golongan muda di sini akan memiliki aset untuk dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan harian mereka," katanya.

Syor wujud tabung khas

Ahmad Ramdzi berkata, sebagai pembuka langkah, GAML mengesyorkan pihak Kerajaan Negeri untuk mewujudkan tabung khas bagi mengumpul dan seterusnya menyalurkan dana bagi kegunaan golongan muda di situ.

Menurutnya, kewujudan tabung berkenaan bakal memberi kemudahan kepada golongan muda untuk memulakan perniagaan mahu pun melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Kami mengesyorkan tabung ini demi menjaga kebajikan golongan muda, seperti yang kita semua tahu, bumi Lenggong memiliki segala hasil khazanah yang mampu menyumbang ke arah kewujudan tabung berkenaan.

"InsyaALLAH, perkara ini kita akan gerakkan bersama dengan belia di sini tanpa mengira bangsa, kaum dan agama mahupun dari segi parti mana sekali pun," katanya.

Adun sokong

Cadangan yang dikemukakan GAML untuk mewujudkan tabung dana khas mendapat reaksi positif wakil rakyat.

Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad memberitahu, ia sebagai satu cadangan yang baik dan pihaknya bersedia mengadakan perbincangan lanjut.

"Pihak kami mengalu-alukan idea positif sebegini, mereka boleh kemukakan pandangan ini kepada saya untuk perbincangan lanjut," katanya.

Selesai masalah banjir

Seorang penduduk, Jamaluddin Adnan, 43, berkata, cadangan GAML untuk 'mengambil alih' tanah yang diteroka itu boleh menjadi penyelesaian terhadap masalah banjir lumpur yang dihadapi mereka.

Menurutnya, sebagai penduduk kampung, mereka sudah tidak sanggup lagi mengahdapi kemungkinan banjir yang menyebabkan kerosakan dan kerugian harta benda.
"Jika dahulu penduduk berbangga dengan hasil tanaman teh di bukit itu, kini ia seakan menjadi igauan buruk.
"Ada juga beberapa penduduk yang mengambil keputusan untuk berpindah, namun bagi kami yang tidak mempunyai penempatan lain bagaimana mahu berpindah," katanya.
Jamaluddin berkata, dalam kejadian banjir terbaru, Disember lalu, hampir 30 rumah masing-masing di Kampung Chain, Kampung Banggol Batu, Kampung Banggol Belimbing dan Kota Tampan terjejas.

Rata-rata rumah dimasuki banjir lumpur dipercayai dibawa dari bukit berkenaan.