KABUL - Seorang pemimpin tertinggi kumpulan Taliban menyatakan keraguannya terhadap jumlah sebenar tentera Amerika Syarikat (AS) yang bertindak secara tidak berperikemanusiaan dengan menembak mati 16 penduduk termasuk sembilan kanak-kanak di kampung Alkozai di daerah Panjwayi, wilayah Kandahar pada minggu lalu.
"Kami percaya pembunuhan kejam itu dilakukan oleh lebih seorang individu, Tetapi jika ia dilakukan oleh seorang suspek, kami mahu dia didakwa di negara ini dan dibicarakan mengikut undang-undang Islam," kata pemimpin Taliban tersebut yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Suspek insiden menggemparkan itu, Robert Bales, 38, kini ditahan di penjara tentera AS di Fort Leabenworth selepas dia diterbangkan keluar dari Afghanistan pada minggu lalu.
Sebelum ini, Bales pernah mengalami kecederaan otak yang teruk selepas terlibat dalam kemalangan semasa dia bertugas di Iraq dan keadaan tersebut didakwa mungkin menjadi antara sebab utama kononnya bapa kepada dua anak itu bertindak seperti orang tidak siuman.
Beberapa khabar angin turut mendakwa askar berpangkat sarjan tersebut berada dalam keadaan mabuk semasa dia menembak mati dan membakar beberapa mayat dalam kejadian tragis itu.
Tindakan biadab membakar Al-Quran pada bulan lalu dan insiden pembunuhan 16 orang kampung tersebut telah mengeruhkan lagi hubungan Afghanistan-AS selepas Taliban memutuskan rundingan untuk kempen memerangi keganasan yang dianjurkan oleh Washington sejak Julai lalu.
Dalam masa yang sama, presiden Hamid Karzai turut menggesa tentera bersekutu pimpinan AS supaya segera berundur dari kawasan pedalaman di negara itu.