Selasa, 14 Februari 2012

07 di trolak - Google Blog Search

07 di trolak - Google Blog Search


Awas! Rotavirus Menyerang Daerah Batang <b>...</b> - Aku Budak <b>Trolak</b>

Posted: 10 Feb 2012 04:00 PM PST

Dalam BERNAMA menyatakan bahawa 2 bayi telah meninggal dan 2236 penduduk di Daerah Batang Padang dan Hilir Perak setelah dijangkiti Rotavirus. Kes ini menjadi gempar kerana telah menyebabkan 2 bayi meninggal dunia dan kes ini dilihat terlalu mendadak.

Berikut ini ialah berita yang disiarkan oleh BERNAMA:

TAPAH, 10 Feb (Bernama) -- Dua bayi berusia dua dan 10 bulan maut manakala 2,236 penduduk di daerah Hilir Perak dan Batang Padang dipercayai akibat dijangkiti sejenis virus dikenali 'Rotavirus' yang menyebabkan kes 'Acute Gastroenteritis' (AGE).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata dalam kes kematian itu, seorang dibawa ke hospital dalam keadaan tenat manakala seorang lagi telah meninggal dunia.

"Siasatan mendapati ada taburan kes AGE dikesan di beberapa kawasan daerah Batang Padang iaitu di Tapah dan Bidor, manakala di Hilir Perak pula kes ini dikesan di Hutan Melintang, Teluk Intan, Chenderong Balai dan Langkap," katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Tapah di sini Jumaat.

Beliau berkata kebanyakan kes AGE yang dikesan menunjukkan gejala cirit-birit serta muntah dan kebanyakan pesakit pula hanya mendapat rawatan pesakit luar.

Sejak 27 Jan lepas sehingga hari ini, sebanyak 2,236 kes AGE dengan gejala cirit-birit dan muntah dikesan di dua daerah terbabit iaitu 1,397 kes di Hilir Perak manakala 839 kes dikesan di Batang Padang, katanya.

Daripada jumlah itu, hanya 45 peratus yang menular di kalangan pesakit berusia 12 tahun ke bawah di Batang Padang manakala 56 peratus di Hilir Perak.

Jumlah kes serangan virus, yang dipercayai berpunca daripada penyakit bawaan air dan makanan, bagaimanapun menurun sejak seminggu lepas di kedua-dua hospital daerah itu, katanya.

Katanya kajian terperinci sedang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri Perak dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk mengenal pasti punca merebaknya wabak berkenaan.

"Pihak berkenaan telah menjalankan ujian makmal ke atas pesakit yang terbabit. Sebanyak 39 sampel najis pesakit telah diuji kehadiran virus manakala 45 sampel lagi diuji untuk mengetahui bakteria. Hasilnya hampir semua sampel yang diuji tidak mengandungi bakteria namun 18 daripada 39 sampel yang diuji di dapati mengandungi virus jenis Rotavirus," katanya.

Beliau meminta penduduk di kedua-dua daerah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak merebaknya virus berkenaan ke tahap yang lebih serius kerana pencegahan awal sangat penting.

Dr Mah berkata Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil tindakan efektif dengan mempertingkatkan pengesanan dan laporan kes melalui klinik dan hospital, membuat pengesanan aktif kes di komuniti, memberi rawatan awal terhadap kes yang dikesan serta merujuk ke hospital jika perlu.

Pendidikan kesihatan di kawasan terbabit melalui risalah dan poster berhubung gejala AGE serta rawatan dan langkah pencegahan, pemantauan kualiti air bersama-sama Lembaga Air Perak (LAP) di samping pemantauan terhadap premis makanan di sekitar lokasi wabak turut dilakukan, katanya.

"Antara langkah paling berkesan bagi mengelak wabak ini adalah dengan memasak air sebelum diminum, mengamalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum dan selepas makan, sebelum menyediakan atau menyentuh makanan, serta selepas ke tandas," katanya.

Selain itu, langkah mengurangkan pemakanan mentah seperti ulam-ulaman atau tidak dimasak, memasak makanan dengan sempurna, membersihkan peralatan makanan dan minuman bayi dengan cara merebus terlebih dahulu sebelum digunakan serta memilih premis makanan yang bersih, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mengalami mengalami demam, cirit-birit, muntah, loya, sakit perut, sakit kepala serta hilang selera makan agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital berhampiran tempat tinggal mereka.

Sumber: BERNAMA

Artikel berkaitan Rotavirus untuk pengetahuan umum:

"APAKAH ROTAVIRUS"

MUNTAH dan cirit-birit adalah perkara biasa di kalangan kanak-kanak, namun amat berbahaya bagi bayi. Bagaimana anda mampu mencegahnya?

Anak anda muntah beberapa kali dalam beberapa jam yang lepas. Episod muntah adalah cara badan kita mengeluarkan toksin daripada perut. Pada kebiasaannya, muntah bukanlah keadaan yang serius dan kebanyakan kes berhenti dalam tempoh beberapa jam. Bagaimanapun, anda akan mula bimbang apabila suhu anak anda mula meningkat dan beliau mengalami cirit-birit.

Muntah-muntah dan cirit-birit kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Walaupun muntah dan/atau cirit-birit mungkin disebabkan oleh keracunan makanan, sakit perut atau meningitis, kebanyakan kes yang sering dialami oleh kanak-kanak dan bayi adalah disebabkan oleh jangkitan virus dan dikenali sebagai gastroenteritis akut.

Gastroenteritis adalah masalah radang perut dan usus. Walaupun selalunya ia tidak begitu serius kepada kanak-kanak, namun ia juga boleh membahayakan dan dalam sesetengah kes, dapat mengancam nyawa bayi. Penyebab utama gastroenteritis adalah sejenis virus yang dipanggil Rotavirus.

Apakah Rotavirus?

Rotavirus adalah virus yang amat mudah berjangkit dan menyebabkan jangkitan di usus. Ia sering dikesan dalam najis kanak-kanak yang telah dijangkiti, dan disebar melalui sentuhan dengan najis ini. Perkara ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak mencuci tangan selepas ke tandas atau sebelum makan. Penyebaran virus boleh berlaku dari anak ke anak di pusat jagaan anak dan nurseri. Ia boleh merebak melalui orang dewasa yang dijangkiti atau yang mengurus bayi yang dijangkiti.

Rotavirus mampu bertahan selama beberapa jam di tangan manusia serta berhari-hari di atas permukaan keras dan kering. Ini bermaksud ia juga mudah merebak melalui air atau makanan yang tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek atau permukaan yang dijangkiti, dan kemudian menyentuh mulutnya.

Adakah anak saya berisiko?

Di Malaysia, setinggi 38% kanak-kanak yang masuk hospital kerana gastroenteritis akut disebabkan oleh Rotavirus. Kebanyakan kanak-kanak dijangka dijangkiti virus ini sebelum berusia lima tahun.

Jangkitan Rotavirus kepada kanak-kanak yang lebih besar tidak begitu berbahaya, namun amat berbahaya bagi kanak-kanak dua tahun ke bawah. Bagi bayi, mereka menghadapi masalah paling serius memandangkan ia boleh menyebabkan dehidrasi (kekurangan cecair dalam tubuh badan) kesan daripada muntah dan cirit-birit yang teruk. Selain berhadapan dengan masalah dehidrasi, terdapat juga risiko mengalami masalah menghadam laktosa yang disebabkan cirit-birit yang berterusan.

Apa yang terjadi jika telah dijangkiti?

Pada permulaannya, kanak-kanak yang dijangkiti Rotavirus akan demam dan muntah-muntah, diikuti cirit-birit yang teruk dengan najis berair. Dalam kebanyakan kes, demam dan muntah selama dua ke tiga hari manakala cirit-birit pula berlarutan hingga satu minggu. Gejala-gejala lain termasuk kurang selera makan, sakit badan, air kencing berkurangan dan tidak bermaya.

Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan Rotavirus atau dehidrasi, anda perlu:

  • Beri anak anda minum 1 hingga 1.5 liter cecair sehari seperti cecair garam rehidrasi atau isotonik. Jika dia muntah, pastikan anak anda kerap mengambil cecair atau susu dalam jumlah yang kecil setiap jam atau setengah jam.

  • Bubur boleh diberi dalam jumlah yang kecil bagi memastikan anak menerima khasiat yang mencukupi. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman dalam jumlah yang banyak jika dia muntah-muntah.

  • Beri parasetamol untuk menurunkan suhu badan.

  • Pastikan diri anda, anak anda dan orang lain mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.


Foto: Good Website

Untuk si kecil yang berusia di antara 6 dan 24 bulan, muntah dan cirit-birit yang serius boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air) yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang atau kerosakan otak. Jika dijangkiti, anak anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk menggantikan air yang hilang melalui cecair intravena. Jika tidak dirawat, dehidrasi akan bertambah teruk dan boleh membawa maut.

Bolehkah saya mengelakkan jangkitan Rotavirus?

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah menyusukan anak dengan susu badan dan menggalakkan setiap ahli keluarga mengamalkan kebersihan yang baik di rumah. Pastikan semua peralatan makanan bersih dengan mencuci pinggan mangkuk, botol dan sudu garpu menggunakan air panas; mengambil berat tentang kebersihan apabila menyediakan makanan untuk keluarga; jangan menyimpan makanan yang telah masak di dalam peti ais lebih daripada dua hari; dan pastikan semua makanan telah dipanaskan semula dengan baik sebelum dimakan.

Walaupun kesemua langkah pencegahan ini diamalkan, kerana Rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit, maka penyusuan ibu dan kebersihan yang sempurna juga tidak mampu melindungi anak anda sepenuhnya. Satu cara yang berkesan adalah dengan mengambil suntikan vaksin untuk virus ini.

Mengenai vaksin

Vaksin Rotavirus amat berkesan jika diambil di peringkat awal. Ia boleh diberi secara oral. Matlamat vaksin ini untuk merangsang sistem imun badan dari usia yang muda supaya apabila anak dijangkiti Rotavirus untuk kali pertama, dia hanya mengalami jangkitan yang sederhana atau tanpa gejala-gejala yang serius. Jika dia dijangkiti lagi, anak anda akan mendapat perlindungan kecil.

Artikel oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.mypositiveparenti.

- POSITIFVE Parenting merupakan program pendidikan masyarakat yang bertumpu kepada isu-isu kesihatan & kesejahteraan kanak-kanak. Ditubuhkan pada tahun 2000 oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (pakar) dan melibatkan usaha sama Lembaga Perpaduan & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia dan Persatuan Tadika Malaysia

Sumber: Utusan Online


Artikel Cambridge Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan