Ahad, 1 April 2012

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


MBI diminta segerakan proses rawatan tapak pelupusan sampah <b>...</b>

Posted: 30 Mar 2012 10:27 PM PDT

Selepas 26 tahun berhadapan pencemaran bau, penduduk yang tinggal berdekatan tapak pelupusan sampah Bercham, dekat Tanjung Rambutan kini dapat menarik nafas lega apabila operasi tapak pelupusan itu ditutup secara rasmi hari ini.

Tapak pelupusan seluas 38.4 hektar yang diuruskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu akan menjalani proses rawatan dan pemulihan bagi mengeluarkan gas metana dan larutan resapan (leacheate) yang terdapat di bawah timbunan sampah yang membentuk bukit sampah setinggi kira-kira 15 meter.

Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim, berkata pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan MBI kerana menutup operasi tapak pelupusan sampah Bercham yang menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk sekitar terutamanya pencemaran bau.

Namun, beliau berharap agar proses rawatan dan pemulihan tapak pelupusan dalam dilaksanakan dalam tempoh kurang dua tahun kerana ia membabitkan keselamatan penduduk di situ yang terdedah kepada ancaman gas metana yang mudah terbakar.

"Mulai esok, tapak pelupusan sampah baru akan beroperasi di Ulu Johan dekat Lahat tetapi saya mengharapkan agar proses rawatan dan pemulihan tapak pelupusan sampah Bercham dapat dilakukan segera dan jangka masa yang diambil tidak melebihi dua tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis ringkas penutupan tapak pelupusan sampah Bercham, pagi tadi.

Sementara itu, Setiausaha MBI, Datuk Abdul Rahim Md Arif, berkata pihaknya akan memohon peruntukan RM30 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjalankan proses rawatan dan pemulihan tapak pelupusan sampah Bercham.

Katanya, memandangkan kawasan itu agak luas, proses rawatan dan pemulihan dijangka memakan masa sekurang-kurangnya 18 bulan.

"Mengikut kajian, kawasan tapak pelupusan yang sudah dirawat tidak sesuai dijadikan tapak penempatan sebaliknya boleh dibangunkan sebagai kawasan rekreasi atau padang golf," katanya lagi.

Sementara itu, penduduk yang ditemui Perak Today.com menyatakan rasa syukur kerana masalah pencemaran bau busuk yang dihadapi mereka sejak puluhan tahun lalu akan berakhir.

Penduduk Kampung Tersusun Batu 8, Aminah Salleh, berkata masalah bau busuk dan gangguan lalat yang berpunca dari tapak pelupusan sampah itu telah menjejaskan kehidupan penduduk yang tinggal berdekatan tapak itu.

Aminah Salleh

Katanya, bau busuk bertambah kuat selepas hari hujan dan kebanyakan penduduk terpaksa menutup tingkap bagi mengelak lalat daripada memasuki rumah mereka.

"Masalah bau busuk dan gangguan lalat ini nampaknya sudah sebati dengan penduduk di sini kerana ia telah berlarutan sejak 26 tahun lalu.

"Justeru, apabila dimaklumkan tapak pelupusan ini akan ditutup, sudah pasti ia berita gembira yang paling dinanti-nantikan oleh penduduk di sini," kata Aminah lagi.

Halijah Mohd Kassim, dari RPA Hulu Kinta, pula berharap agar MBI menyegerakan proses rawatan dan pemulihan tapak pelupusan sampah Bercham.

Jelasnya, timbunan sampah yang tinggi menggunung perlu dibersihkan segera bagi memastikan penduduk yang berdekatan tapak pelupusan bebas daripada pencemaran bau busuk.

"Saya bersimpati dengan nasib penduduk Kampung Lintan, Kampun Tersusun Batu 8 dan Taman Berjaya yang terpaksa menghidu bau busuk setiap hari yang berpunca daripada tapak pelupusan ini.

Halijah Mohd Kassim

"Atas desakan rakyat dan wakil rakyat Hulu Kinta, kerajaan negeri akhirnya akur untuk menutup operasi tapak pelupusan ini kerana kawasan bukit sampah semakin padat yang dikhuatiri akan menyebabkan gelungsuran jika ia terus digunakan," katanya lagi.

Tapak pelupusan sampah Bercham dibuka pada 1986 yang meliputi kawasan berkepadatan 125,712 penduduk.

Setiap hari, tapak ini menerima 650 hingga 700 tan sampah yang dibuang wargakota Ipoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan