07 di taiping - Google Blog Search     |   
|    Pagi Khamis: Pengalaman gempa bumi kecil <b>di Taiping</b> Posted: 11 Apr 2012 06:38 PM PDT   Petang semalam mungkin merupakan satu pengalaman yang  jarang dirasai. Umumnya telah mengetahui bahawa Acheh sekali lagi ditimpa gempa  bumi, dan kekuatan gegaran dikatakan hampir sama seperti peristiwa gempa tahun  2004 yang menyebabkan berlakunya tsunami.       Pada jam sekitar 4.38 petang, sewaktu sedang membaca  novel The Great Gatsby tulisan F. Scott Fitzgerald (novel yang wajib dibaca  untuk subjek Selected Novels and Short Stories), dan pada waktu itu adik saya  Adrina sedang sibuk mewarnakan lukisan, manakala adik saya Izhar berbaring di  sebelah Adrina, tiba-tiba kedengaran 'sliding door' rumah berbunyi seolah-olah  angin kuat sedang bertiup. Kemudian, kelihatan pintu tersebut bergoyang-goyang  walaupun di luar rumah tiada angin yang bertiup.       Adrina yang sibuk mewarna tadi terus berhenti dari  kerjanya. Dia kemudian bangun melihat keadaan di luar rumah. Pada waktu itu  jugalah, kedengaran pula gegaran pada pintu grill, dan gegaran tersebut agak  kuat, seolah-olah  seperti ditiup angin  kencang. Saya menyoal kehairanan, apakah terdapat angin di luar?       Izhar adik saya terus memberi respon. Katanya, bukan  angin yang bertiup, tetapi mungkin rumah sedang bergegar. Lantas ditunjukannya  akuarium di rumah. Kelihatan dengan jelas akuarium tersebut bergegar. Air di  dalam akuarium berkocak dengan kuat, dan itu sesuatu yang jarang untuk berlaku.  Pada waktu itu jugalah, lantai dirasakan bergetar dan kipas angin kelihatan  bergoyang.       Secara spontan, keseluruhan keluarga keluar dari rumah  bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Rupa-rupanya bukan keluarga saya  sahaja yang merasai situasi itu, malah keseluruhan penduduk di kawasan perumahan  turut mengalaminya. Kebanyakan jiran turut keluar dari rumah. Masing-masing  mula bersuara, dan situasi agak kecoh sedikit.       Mata saya terus melihat tiang elektrik di hadapan rumah. Ternyata  dengan jelas, tiang elektrik tersebut bergoyang, dan menyebabkan berlaku  pergerakan pada wayar elektrik. Wayar eletrik ini terus bergoyang untuk  beberapa minit.       Mata kemudian melihat pada parit di hadapan rumah. Air di  dalam parit juga turut berkocak. Kemudian seorang jiran menyatakan bahawa  kereta Toyota Alphard milik jiran sebelah kelihatan bergoyang. Ternyata apa  yang dinyatakannya itu benar.       Situasi tersebut terus berlaku dalam tempoh beberapa  minit. Sewaktu berlaku, fikiran menyatakan bahawa mungkin inilah kejadian gempa  bumi pertama seumpamanya di Taiping. Mungkin zon selamat dari gempa bumi yang  dimiliki di kawasan Semenanjung Malaysia tidak lagi dapat dipertahankan.  Mungkin keadaan geografi telah berubah, dan kawasan di Malaysia juga mungkin  telah terdedah dengan ancaman gempa bumi.       Apabila merasai sendiri gegaran tersebut, segala logik berdasarkan  ilmu geografi yang menyatakan bahawa Malaysia tidak berada dalam zon Lingkaran  Api Pasifik seolah-olah dilupakan seketika. Fikiran pada waktu itu hanya  memikirkan bahawa kawasan Taiping mungkin telah terdedah dengan bencana gempa  bumi.       Hakikatnya, gegaran yang berlaku itu sangatlah kecil.  Namun, bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah merasai pengalaman gegaran  sedemikian, situasi itu ternyata mencetuskan panik. Itulah yang berlaku di  kawasan perumahan saya. Masing-masing keluar dari rumah tertanya-tanya apakah  yang sedang berlaku.       Maka, sepantas kilat berita kemudian tersebar menyatakan  bahawa gempa bumi telah berlaku di Acheh, Indonesia dengan kekuatan gegaran 8.9  skala ritcher. Maka tidak hairanlah andai gegaran itu dapat dirasai di Taiping.       Terdapat satu pengajaran yang boleh diambil.  Sesungguhnya, manusia itu terlalu kerdil, dan Allah itu Maha Berkuasa. Apa  sahaja yang mustahil bagi manusia, adalah sesuatu yang mudah untuk Allah  laksanakan. Hanya dengan berkata 'jadi', maka akan jadilah setiap perkara yang  mungkin mustahil.       Benar, Taiping bukan kawasan gempa bumi. Namun tak  mustahil keadaan itu berubah jika Allah izinkannya. Maka, sama-samalah  bersyukur dengan nikmat aman dan tenteram yang dirasai. Jangan kufur nikmat.  Jangan suburkan maksiat dalam kehidupan.       Syukurlah, tiada kejadian tsunami berlaku selepas itu.  Itu juga satu tanda kebesaran Allah buat hamba-Nya.           "Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu,  maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah  ia."                   [Al Baqarah:117]  |   
| You are subscribed to email updates from di taiping - Google Blog Search   To stop receiving these emails, you may unsubscribe now.  |   Email delivery powered by Google | 
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan