Hamidah menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh, semalam.
IPOH - "Saya akan terus bongkar apa mereka buat," tegas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman ketika membuat laporan polis terhadap ugutan diterima daripada Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Menurutnya, laporan polis dibuat bagi mendapatkan perlindungan pihak berkuasa kerana bimbang keselamatannya dan keluarga.

Beliau berkata, ugutan diterimanya itu berikutan pendedahan pemilikan tanah di Gua Musang oleh sebuah syarikat yang mempunyai pegangan saham milik Kor Ming dan Adun Sitiawan, Ngeh Koo Ham.

"Saya melihat apa yang berlaku semalam (kelmarin) mengenai tuduhan terhadap Speaker Dun, Datuk R Ganesan berkaitan VCD seks, maka hari ini saya terpaksa membuat laporan polis untuk melindungi diri dan keluarga saya daripada sebarang kemungkinan.

"Selepas pendedahan skandal tanah itu mereka (Kor Ming dan Koo Ham) kelihatan gelisah dan tak ceria sepanjang Sidang Dun. Jadi saya takut mereka boleh mengada-adakan perkara yang tidak wujud," katanya kepada media di Balai Polis Kampung Rapat, semalam.

Mengenai ugutan diterimanya daripada Kor Ming, katanya, ia berlaku pada Khamis, jam 3 petang ketika minum di dewan makan Sidang Dun.

Hamidah berkata, Kor Ming datang kepadanya dan mengeluarkan perkataan, 'you reveal and watch out,  I'll go after you' dengan muka yang marah dan geram.

"Ugutan tidak patahkan semangat saya dan saya akan bongkar siapa mereka kepada rakyat, kerana mereka perlihatkan diri mereka seolah-olah suci.

"Mereka patut nafikan ia bukan putar belit keadaan. Saya cabar mereka buat kenyataan menafikan penglibatan syarikat mereka itu," katanya.