Selasa, 21 Jun 2011

07 di sungkai - Google Blog Search

07 di sungkai - Google Blog Search


Pekan Lama <b>Sungkai</b> Terkubur? | peraktoday.com

Posted: 16 Jun 2011 10:52 AM PDT

TERLETAK kira-kira 90 km dari Ipoh, Sungkai merupakan salah satu daripada pekan kecil di selatan Perak yang berada dalam Daerah Batang Padang. Berkedudukan antara pekan Bidor dan Slim yang lebih pesat membangun, pekan kecil Sungkai tidak jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan masa dahulu dan sekarang. Deretan kedai lama dan bangunan usang yang terbiar turut mencacatkan pemandangan pekan koboi ini seolah-olah ia menggambarkan nasib suram dan muram pekan Sungkai yang mungkin terkubur jika tidak dibangunkan semula dengan kadar segera.

Selain bangunan terbiar seperti balai polis lama yang ditumbuhi semak-samun, kegiatan ekonomi di pekan kecil ini juga tidak serancak jirannya, pekan Tapah, Bidor dan Slim yang menjadi tumpuan ramai kerana menawarkan banyak pilihan kedai dengan harga murah dan khidmat perbankan yang lebih meluas berbanding hanya dua bank di Sungkai, iaitu RHB dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kegiatan harian di pekan Sungkai bermula seawal jam 6.30 pagi dan berakhir sekitar jam 7 malam. Kebanyakan deretan kedai yang majoritinya dimiliki tauke Cina akan ditutup selepas waktu itu kerana tiada sambutan pelanggan. Natijahnya, pekan Sungkai akan menjadi seperti pekan mati yang sunyi dan sepi kerana tiada aktiviti berlangsung di sebelah malam. Selain itu, khidmat pengangkutan bas awam yang disediakan juga tidak menentu serta bergantung kepada sambutan penumpang bagi mengelak pengusaha mengalami kerugian.

Ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sibuk merancang untuk membangunkan semula pekan kecil di seluruh negeri, penduduk di sini turut mengharapkan agar Sungkai tersenarai antara 14 pekan kecil itu tetapi malangnya Tapah Road, Lawin, Trong, Changkat Lada, Sauk, Kati, Batu Kurau, Ijok, Bandariang, Lekir dan Kubu Gajah pula yang terpilih.

Mungkin timbul persoalan di kalangan rakyat dan peniaga tempatan adakah pekan lama Sungkai ini dianaktirikan oleh kerajaan negeri? Selama ini, tidak banyak pembangunan dibawa ke kawasan itu baik dari segi ekonomi atau sosial yang boleh menarik kehadiran lebih ramai pengunjung. Kebimbangan yang disuarakan mereka ada asasnya kerana tanpa pembangunan dan kehadiran ramai pengunjung, ramai peniaga di pekan itu bakal gulung tikar lebih awal seperti yang diakui seorang peniaga kecil-kecilan yang cukup sedih dan kecewa dengan nasib yang menimpa pekan Sungkai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saban hari, peniaga di situ mengeluh dan menyatakan rasa bimbang kerana perniagaan mereka semakin merosot akibat kurang sambutan pelanggan. Tambahnya, pekan Sungkai kini sudah separuh mati, dan dijangka mati sepenuhnya apabila projek pembangunan bersepadu dikenali Sungkai Perdana yang terletak kira-kira 1.5 km dari pekan lama beroperasi sepenuhnya dalam tempoh setahun dua lagi. Justeru katanya, sesuatu perlu dilakukan bagi membangunkan semula pekan lama itu jika tidak mahu ia terkubur begitu sahaja, yakni sekadar meninggalkan nama sekiranya tidak dipertahankan oleh pihak kerajaan negeri.

Pekan Sungkai sebenarnya berpotensi untuk berkembang dan menjadi pusat ekonomi tempatan kerana ia terletak di laluan strategik, iaitu hanya 10 minit dari susur keluar tol Sungkai dan di kawasan sekitarnya juga terdapat beberapa penempatan Felda, estet dan kampung tradisional Melayu antaranya Felda Trolak Utara, Trolak Selatan dan Trolak Timur, Felda Sungai Klah dan Felda Gugusan Besout yang jika dihitung kesemua penduduknya dianggarkan melebihi 30,000 orang. Selain itu, ia juga terletak berdekatan destinasi pelancongan tempatan seperti Taman Rekreasi Kolam Air Panas Sungai Klah dan Felda Residence. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak juga terletak hanya 15 km dari pekan Sungkai, antara MRSM yang terbesar dibina oleh kerajaan Pusat di negara ini dengan bilangan pelajar dan tenaga pengajar yang mencecah ribuan orang.

Dengan populasi penduduk yang dijangka terus bertambah, pekan Sungkai wajar dibangunkan semula dengan lebih banyak pusat perniagaan termasuk pasaraya besar dan pusat jualan makanan sebagai memenuhi keperluan pengguna selain menjadi daya tarikan pengunjung ke situ. Jika perancangan ini dapat dibangunkan, penduduk yang tinggal di Felda Trolak, Gugusan Besout dan kampung berdekatan pastinya lebih berminat untuk berbelanja atau berurusan di pekan Sungkai daripada menghabiskan masa dan wang mereka di pekan Bidor, Slim atau Tanjung Malim yang terletak lebih jauh. Sebagai contoh, tempoh perjalanan ke pekan Sungkai dari Felda Besout 1, 2 dan 3 memakan masa sekitar 30 minit berbanding hampir satu jam jika ke pekan Bidor.

Timbul persoalan, di manakah peranan pemimpin tempatan dan wakil rakyat di sini yang sepatutnya memperjuangkan nasib pekan Sungkai yang amat memerlukan pembangunan baik dari segi ekonomi mahupun sosial bagi bersaing dengan pekan lain di selatan Perak? Apabila ditanya, jawapan yang diberi penduduk sini cukup sinis iaitu bila tiba musim pilihanraya barulah nampak kelibat wakil rakyat datang menjenguk kawasan. Adakah ini membawa maksud wakil rakyat baik yang duduk di kerusi Parlimen Tanjung Malim yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU-12 lalu, iaitu Datuk Seri Ong Ka Chuan dari MCA ataupun ADUN Sungkai, iaitu A Sivanesan dari DAP tidak buat kerja mereka yang sepatutnya? Atau juga pemimpin di peringkat akar umbi tidak membawa atau membangkitkan perkara itu kepada wakil rakyat untuk dipanjangkan kepada pengetahuan kerajaan negeri untuk tindakan susulan.

Apapun dolak-daliknya, perbezaan politik tidak seharusnya menghalang Ong Ka Chuan dan Sivanesan daripada membantu rakyat dengan membawa pembangunan di pekan lama Sungkai. Sejak 2008 hingga ke hari ini, tidak banyak aktiviti ekonomi dan pembangunan dilihat mengambil tempat di pekan Sungkai yang dilabelkan sangat perlahan oleh peniaga dan penduduk tempatan baik ketika pemerintahan Pakatan Rakyat mahupun kerajaan BN.

Jika pekan lain dalam Parlimen Tanjung Malim seperti Slim dan Behrang kian pesat membangun, Sungkai juga tidak seharusnya dipinggirkan. Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Batang Padang perlu bertindak segera untuk merancang dan membangunkan semula pekan lama Sungkai ini. Jika berteraskan gagasan Perak Amanjaya, kualiti hidup rakyat di sini seharusnya dipertingkatkan dengan membawa lebih banyak pembangunan dan peluang ekonomi untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Wakil rakyat BN juga perlu lebih kerap turun padang untuk meninjau dan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan ini. Ia seharusnya dijadikan peluang keemasan oleh BN untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri sama sekali tidak mengabaikan kawasan yang dikuasai pihak pembangkang. Rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak mustahil sekiranya kerusi DUN Sungkai yang kini diwakili DAP bertukar tangan kembali kepada kerajaan BN pada pilihanraya akan datang jika pemimpin atasan negeri memberi perhatian sewajarnya kepada pembangunan semula pekan Sungkai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan