Jumaat, 30 September 2011

07 di hutan melintang - Google Blog Search

07 di hutan melintang - Google Blog Search


Padah terima suapan | :: cina islam | 2011 ::

Posted: 29 Sep 2011 08:30 PM PDT

3 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
IPOH - Gara-gara menerima suapan RM1,500, daripada seorang pemandu traktor, seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikenakan hukuman penjara sehari serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas Mad Karimin Mansor, 49, selepas mendapati tertuduh bersalah melakukan perbuatan itu dan dalam penghakimannya, Julie Lack menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan pada masa akan datang.
Dalam masa yang sama, beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.
Mad Karimin kelihatan sugul di kandang tertuduh sejurus hakim menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Terence Naidu, memohon agar hukuman terhadapnya dikurangkan dengan alasan dia menanggung dua anak selain kehilangan kerja dan wang pencen apabila mengambil keputusan untuk mengaku bersalah.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), M Kathan memohon agar hukuman setimpal dikenakan memandangkan perbuatan rasuah merupakan suatu kesalahan yang serius.
Tertuduh mengaku memperoleh rasuah RM1,500 daripada S Letchamanan pada pukul 7.40 malam, 4 September 2009 di Kedai Makan Yunos berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jenderata Bahagian Tiga di Hutan Melintang.
Wang itu adalah sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap Letchamanan yang memandu traktor bernombor pendaftaran AM 3297 tanpa cukai jalan, iaitu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan