Jumaat, 6 Julai 2012

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


Klinik 1Malaysia Bukti Keprihatinan Kerajaan BN - Visitors Counter

Posted: 06 Jul 2012 12:49 AM PDT

IPOH, 6 Julai - Tatkala kos untuk menjaga kesihatan terus meningkat, inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Klinik 1Malaysia amat dialu-alukan oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Dengan bayaran hanya RM1, rakyat boleh mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan dan perubatan di klinik itu yang diwujudkan di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka bagi kemudahan mereka.

Klinik 1Malaysia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat negara ini mendapat perkhidmatan kesihatan yang sempurna tanpa mengira kawasan itu dikuasai kerajaan mahupun pembangkang.

Sejak dimulakan pada 7 Jan 2010, kini terdapat 50 buah Klinik 1Malaysia diwujudkan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Di Perak, sepuluh buah buah klinik ditubuhkan yang mana enam daripadanya terletak di kawasan yang dikuasai parti pembangkang iaitu di Teluk Intan, Bercham, Taiping, Menglembu, Taman Medan Bersatu ,Taman Medan Pengkalan dan Meru Raya. Empat lagi terletak di Ipoh, Seri Iskandar, Manjung dan Kampar.

Penubuhan Klinik 1Malaysia di kawasan-kawasan pembangkang tersebut membuktikan kerajaan pimpinan BN tidak pernah "pilih kasih" dalam memberi kemudahan dan kesenangan kepada rakyat sepertimana dakwaan sesetengah pihak.

Bagi seorang penduduk di Kampung Tersusun Tasek, Bercham, Zairol Iskandar, berpendapat penubuhan Klinik 1Malaysia di kawasan Bercham merupakan inisiatif kerajaan dalam memberi kemudahan perubatan yang terbaik kepada rakyat.

"Bercham ini kawasan pembangkang...jadi bukalah mata untuk melihat sendiri sumbangan kerajaan BN kepada rakyat," kata pekerja swasta berumur 35 tahun itu ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

K.S Nadrayan, 61, yang membuat rawatan susulan penyakit darah tinggi di Klinik 1Malaysia itu berkata usaha kerajaan menubuhkan klinik itu banyak membantu meringankan beban rakyat seperti dirinya.

"Saya bangga dengan usaha kerajaan membina Klinik 1Malaysia. Sesiapa sahaja boleh datang ke sini (klinik) untuk dapatkan rawatan tanpa mengira kaum. Bila saya buat rawatan di sini, mudah untuk saya ulang alik dari rumah," katanya yang tinggal di Bercham Jaya.

Katanya, layanan yang diberikan oleh pegawai perubatan dan jururawat di klinik itu juga amat baik.

Seorang penjawat awam Mok Weng Cheong, 52, dari Taman Rima Gamilan, Bercham berkata kerajaan tidak memilih bangsa dan kawasan dalam memberi bantuan kepada rakyat.

"Dia (pembangkang) boleh cakap apa yang dia nak cakap tentang penubuhan Klinik 1Malaysia ini. Terpulang pada kerajaan nak buat apa kerana kerajaan ada hak dan mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat," katanya.

Katanya Klinik 1Malaysia yang beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan kerana kebanyakan klinik swasta dan juga klinik kerajaan yang lain berhampiran kawasan itu tutup pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Penolong Pegawai Perubatan Klinik 1Malaysia Bercham, Zamri Shaari berkata klinik tersebut merupakan antara klinik IMalaysia di negeri ini yang merekodkan jumlah pelanggan paling ramai.

Beliau berkata purata pelanggan yang datang ke klinik itu setiap hari adalah 200 orang manakala pesakit yang mendapatkan rawatan susulan kira-kira 40 orang dan selepas dua tahun penubuhannya, ia mencatatkan lebih 100,000 pelanggan.

"Perkhidmatan yang ditawarkan bagi kes-kes ringan antaranya demam, batuk, selesema, luka kecil dan rawatan susulan bagi kencing manis dan darah tinggi. Seorang pegawai perubatan secara bergilir-gilir ditempatkan di klinik," katanya yang telah berkhidmat dalam bidang perubatan selama 14 tahun.

Seorang pekerja Majlis Perbandaran Teluk Intan Muhammad Shuib, 42, berkata beliau dan isterinya Azlina Ahmad Damanhuri, 35, sering membawa keempat-empat anak mereka yang mengalami demam atau batuk mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia.

"Ubat yang dibekalkan oleh klinik ini sesuai untuk anak-anak saya dan cepat menyembuhkan penyakit mereka" katanya.

Seorang nelayan, Chea Seng Chai, 43, dari Sungai Burung Bagan Datoh pula berkata Klinik 1Malaysia yang beroperasi sehingga ke malam memudahkan beliau membawa keluarga mendapatkan rawatan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mewujudkan klinik berkenaan.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan