Rabu, 25 Julai 2012

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


Ketibaan 1 Ramadhan Lebih Bermakna Bersama Keluarga – Perak <b>...</b>

Posted: 20 Jul 2012 06:06 AM PDT

Seperti kebiasaannya, ketibaan 1 Ramadhan sememangnya dinanti-nantikan, bulan mulia yang penuh keberkatan dan keinsafan bagi umat Islam di seluruh dunia.

Tidak lengkap rasanya sambutan 1 Ramadhan tanpa kehadiran keluarga tercinta untuk bangun bersahur dan berbuka puasa bersama-sama dalam suasana yang ceria dan gembira, selain menunaikan solat sunat Tarawih di malam harinya.

Namun, ketibaan Ramadhan tahun ini pastinya lebih bermakna buat Iqram Samuri, 27, dan Nur Syafawati Shuhaimi, 25, kerana masing-masing dapat meraikannya bersama keluarga tercinta.

Tuntutan menuntut ilmu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, dekat Kuala Lumpur  dan bekerja di Pulau Pinang memaksa Iqram dan Nur Syafawati berjauhan daripada keluarga tetapi akhirnya dapat berkumpul bersama keluarga untuk meraikan ketibaan 1 Ramadhan, esok.

Bercakap kepada Peraktoday.com, Iqram berkata, selama dua tahun berturut-turut, beliau tidak dapat menyambut 1 Ramadhan bersama keluarganya yang tinggal di Bercham kerana belajar di UTM, Skudai.

"Tahun ini, saya berpeluang menyambut 1 Ramadhan bersama keluarga tercinta dan berazam ingin mengerjakan solat sunat Tarawih dengan lebih sempurna.

"Rakan serumah juga pulang ke Kelantan untuk meraikan ketibaan bulan mulia ini bersama keluarganya," kata Iqram yang ditemui di Terminal Bas Ekspress Medan Gopeng.

Sementara itu, Nur Syafawati berkata, kehadiran empat lagi adik beradiknya pasti meriuhkan suasana bersahur dan berbuka puasa, petang esok.

"Saya mengidamkan rendang dan pulut kuning untuk juadah berbuka puasa esok dan berharap saya dapat mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna tahun ini," katanya yang menaiki bas dari Terminal Bas Sungai Nibong untuk pulang ke Ipoh.

Gadis manis ini menegaskan, beliau sering mengunjungi bazar Ramadhan Taman Perpaduan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Tambahnya, sepanjang perjalanan ke Ipoh, hatinya begitu gembira dan teruja kerana sekali lagi dapat bersama-sama keluarga untuk menyambut ketibaan 1 Ramadhan.

Tidak ketinggalan, B Devan, turut merasai kemeriahan ketibaan 1 Ramadhan yang diraikan oleh umat Islam di negara ini.

"Tiket keretapi dari Kuala Lumpur ke Ipoh habis terjual kerana orang ramai terutamanya umat Islam mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung meraikan ketibaan 1 Ramadhan.

"Sudah pastinya, saat bersama keluarga tercinta amat bermakna walaupun kita terpaksa melalui tempoh perjalanan yang panjang dan memenatkan," katanya.

Tinjauan juga mendapati, tapak bazar Ramadhan Medan Gopeng sudah dipenuhi dengan lebih 100 khemah dan kanopi yang dipasang sejak beberapa hari lalu.

Bazar Ramadhan Medan Gopeng, antara bazar yang terkenal di bandar raya Ipoh dan sering menjadi tumpuan umat Islam untuk membeli juadah pilihan untuk berbuka puasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan