Isnin, 28 Januari 2013

di negeri perak - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

di negeri perak - Google Blog Search


SISTEM KESULTANAN <b>NEGERI PERAK</b> DARUL RIDZUAN <b>...</b>

Posted: 07 Jan 2013 04:15 AM PST

Untuk melihat dengan jelas proses pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan, adalah baik jika kita mengambil contoh akan pemilihan dan perlantikan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah bermula dengan gelaran Raja Kechil Bongsu dan kemudiannya gelaran-gelaran yang lain sehingga Baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1984.

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Bongsu (1962)

Adalah menjadi kebiasaan bagi seseorang Raja Pemerintah semasa pemerintahannya melantik anakanda Baginda untuk mengisi tempat atau gelaran yang kosong yang  terdapat dalam hirarki Kesultanan yang dinyatakan di Bahagian I: Sistem Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. Oleh itu,  mengikut peruntukan yang terkandung dalam Fasal XXXVII yang di nyatakan di atas,  D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah sebagai Raja Pemerintah pada masa itu,  melantik anakanda Baginda, Y.A.M. Raja Azlan Shah, sebagai Raja Kechil Bongsu pada 19 Ogos 1962, bagi mengisi kekosongan disebabkan kemangkatan D.Y.A.M. Raja DiHilir Kamaralzaman pada 19 Juali 1962. Semasa perlantikan ini, Y.A.M. Raja Azlan Shah sedang berkhidmat di Jabatan Perundangan dan memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. Dengan perlantikannya sebagai Raja Kechil Bongsu, Y.A.M. Raja Azlan Shah telah diletakkan kedalam hirarki sistem Pemerintahan Negeri Perak Darul Ridzuan. Susunan hirarki pada ketika itu adalah seperti berikut:

Hirarki 1962

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Tengah (1963)

Sultan Azlan RKT

D.Y.M.M Sultan Azlan Shah ketika bergelar Raja Kecil Tengah

Ditakdirkan Ilahi, D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Jalil mangkat pada 4 Januari 1963. Dengan kemangkatan Baginda itu,  maka susunan didalam hirarki pemerintahan negeri Perak telah berubah dengan kenaikkan penyandang-penyandang gelaran-gelaran yang di bawah seperti  D.Y.T.M. Raja Muda Idris Shah diisytiharkan sebagai Raja Pemerintah yang baharu, dan begitu juga bagi gelaran-gelaran di bawahnya. Y.A.M. Raja Azlan Shah telah di naikkan ke tempat Raja Kechil Tengah pada 1  Febuari 1963. Pada  tahun yang sama, dalam jawatannya Y.A.M. Raja Azlan Shah di naikkan ke jawatan sebagai Ketua Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Ekoran kemangkatan Al-Marhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah, kekosongan pada gelaran Raja Kecil Bongsu telah diisi oleh anakanda Paduka Seri Sultan Idris Shah iaitu Raja Izzudin Iskandar. Dengan itu, kedudukan dalam hirarki pemerintahan yang baru adalah seperti adalah berikut :

Hirarki 1963

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Sulung (1977)

Pada 24 Mei 1977, Y.A.M Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman iaitu Raja Kechil Besar pada ketika itu telah mangkat. Berikutan dengan kemangkatan ini, penyandang-penyandang gelaran-gelaran yang di bawahnya telah di naikkan ke atas. Pada 1 Januari 1978, Y.A.M. Raja Ahmad Hisham telah di naikkan gelarannya dari Raja Kechil Sulung ke Raja Kecil Besar manakala Y.A.M. Raja Azlan Shah dinaikkan ke gelaran Raja Kechil Sulung. Susunan hirarki ekoran kemangkatan Raja Lope Nor Rashid adalah seperti adalah berikut:

Hirarki 1975

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Besar (1978)

Lebih kurang setahun selepas kemangkatan Y.A.M. Raja Lope Nor Rashid iaitu pada 9 Jun 1978,  kekanda kepada Y.A.M. Raja Azlan Shah iaitu D.Y.A.M. Raja Ekram, Raja DiHilir telah mangkat. Dengan kemangkatan ini, Y.A.M. Raja Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik telah dinaikkan sebagai Raja DiHilir, dan Y.A.M. Raja Azlan Shah pula dinaikkan ke gelaran Raja Kecil Besar pada 1 Ogos 1978. Pada masa yang sama, diperlihatkan bahawa D.Y.M.M Sultan Idris Shah telah melantik adinda baginda iaitu Y.A.M. Raja Ahmed Sifuddin sebagai Raja Kecil Sulung. Susunan hirarki pada ketika itu adalah seperti berikut:

Hirarki 1978

Di samping kenaikannya dalam hirarki Kesultanan Negeri Perak itu, Y.A.M. Raja Azlan Shah juga telah di naikkan ke jawatan sebagai Hakim Besar Malaysia pada 6 Mac 1979.  Kecemerlangan Y.A.M. Raja Azlan Shah di dalam Perkhidmatan Kehakiman telah membawanya  mencapai kemuncak kejayaan di bidang ini dengan perlantikan sebagai Ketua Hakim Negara pada 7 November 1982.

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Muda (1983)

Pada 12 Mei 1983,  D.Y.T.M. Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz telah mangkat di Kota London. Berikutan dengan kemangkatan ini,  pengisytiharan telah dibuat oleh Setiausaha Dewan Negara bahawa Y.A.M. Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Raja Muda,  berkuatkuasa mulai 1 Julai 1983.  Y.A.M. Raja Ahmad Hisham,  Raja DiHilir Perak pada masa itu,  dikekalkan kedudukannya sebagai Raja DiHilir atas faktor kesihatan yang tidak membolehkan Baginda menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab yang lebih berat sebagai Raja Muda. Berikutan dengan perlantikannya sebagai Raja Muda,  D.Y.T.M. Raja Azlan Shah seterusnya meletak jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara (Lord President). Perubahan pada susunan hirarki boleh diperlihat seperti di bawah:

Hirarki 1983

D.Y.T.M Raja Azlan Shah menaiki takhta kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan (1984)

Tatkala seluruh negeri Perak masih meratapi pemergian Al-Marhum Raja Muda Musa yang mangkat pada bulan Mei 1983, rakyat dinegeri ini dikejutkan sekali lagi dengan kemangkatan mengejut D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Idris Shah pada 1 Februari 1984. Baginda mangkat akibat serangan sakit jantung di Lumut Perak. Apabila seseorang Sultan atau Raja Pemerintah mangkat, maka pemilihan hendaklah dilakukan oleh Dewan Negara  daripada waris-waris negeri yang layak untuk menggantikan Raja Pemerintah yang telah mangkat itu. Pengisian ke tempat Raja Pemerintah yang kosong itu tidaklah secara automatik.  Ini adalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Fasal VI (I) dan (2) seperti di bawah:

"Fasal VI (1) Manakala mangkat kita dan mangkat seseorang daripada ganti-ganti kita yang gemilang,  maka jenazah kita dan jenazah-jenazah ganti-ganti kita yang gemilang hendaklah di simpan dengan tiada dimakamkan mengikut sebagaimana adat Melayu sehingga seorang ganti telah dipilih dan dilantik,  dan inilah kita mengikrar dan memerintahkan bahawa hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan menjalankan kuasa-kuasa dan menyempurnakan tanggungan-tanggungan Raja Pemerintah itu di antara kemangkatan seorang Raja Pemerintah  dengan lantikan seorang Raja Pemerintah baharu.

 (2)  Manakala berlaku kemangkatan yang demikian itu dan jikalau kita atau mana-mana daripada ganti-ganti kita melucutkan milik-milik Raja,  hak-hak,  kuasa-kuasa dan kebebasan-kebebasan bagi Raja,  Raja Pemerintah itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara seperti yang disyaratkan di bawah ini,  dan hendaklah apabila dilantik dinyatakan seperti itu mengangkat dan menanda tangani apa-apa sumpah yang harus ditetapkan oleh Dewan Negara itu dari satu masa ke satu masa dengan syarat bahawa sumpah yang demikian itu hendaklah mengandungi perkataan-perkataan yang akan mengikat perasaan Raja Pemerintah itu dan kemudian daripada itu Raja Pemerintah itu hendaklah ditabalkan mengikut adat Melayu.

Tetapi hendaklah disyaratkan pula bahawa dalam timbangan-timbangannya berkenaan dengan pilihan seorang Raja Pemerintah itu,  hendaklah Dewan Negara itu memberi timbangan-timbangannya yang pertama kepada sesiapa Bakal Sultan mengikut susunan yang tersebut di bawah ini,  yang keduanya kepada sesiapa Raja yang Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya dan kemudian daripada itu hendaklah dijalankan seperti yang disyaratkan dalam Fasal VII, VIII dan IX dalam Bahagian ini."   

idris-ii-lying-in-state

Pemilihan Raja Pemerintah yang baharu itu hendaklah di laksanakan dengan secepat mungkin.  Ini adalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII seperti berikut :

"Fasal LXIII.  Maka Dewan Negara itu tidaklah boleh dipanggil bermesyuarat melainkan dengan Titah Perintah Raja pemerintah itu.

Dengan syarat bahawa bila pekerjaan Dewan Negara itu berkenaan dengan lantikan atau pemberhentian seorang Raja Pemerintah atau lantikan seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja,  atau lain-lain pekerjaan yang bersangkut paut dengan tubuh badan Raja Pemerintah itu, atau apa-apa pekerjaan lain yang pada mesyuaratnya disifatkan berfaedah yang Raja Pemerintah itu tidak bercampur, maka hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan memanggil Dewan Negara itu bermesyuarat dengan syarat bahawa Dewan Negara itu hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Pada masa kemangkatan D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Idris Shah, Bakal-Bakal Sultan pada masa itu adalah D.Y.T.M Raja Azlan Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin dan D.Y.A.M. Raha Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik. Didalam mesyuarat Dewan Negara untuk memilih pengganti Sultan yang baharu itu, Bakal-bakal Raja mahupun Raja-raja Bergelar tidaklah dijemput hadir dalam mesyuarat tergempar itu.Dalam mesyuarat yang telah di adakan pada 1 Februari 1984, Dewan Negara  telah memilih dan melantik D.Y.T.M Raja Azlan Shah iaitu Raja Muda pada masa itu, sebagai Raja Pemerintah yang baharu.  Perlu di nyatakan lagi di sini bahawa lain-lain pihak tidak terlibat dalam proses pemilihan seseorang Raja Pemerintah Negeri Perak,  mahupun pihak Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu ataupun pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Selepas pemasyhuran D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Azlan sebagai Sultan Perak yang ke-34, kedudukan dalam hirarki pemerintahan juga telah berubah yang memperlihatkan tiga waris negeri yang baru iaitu Y.A.M. Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Shah, Y.M. Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa dan Y.A.M Raja Iskandar Zulkarnain ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah:

Hirarki 1984

Kini,  D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah memerintah negeri Perak  Darul Ridzuan selama 29 tahun.  Baginda telah menyambut perayaan Jubli Perak,  iaitu 25  tahun Pemerintahan Baginda pada  02 Februari 2009.

Kami berharap dengan butir-butir yang dinyatakan di atas serta artikel-artikel terdahulu, maka ianya akan dapat memberi keterangan yang jelas tentang sistem Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, lebih-lebih lagi mengenai proses pemilihan dan perlantikan seorang Raja Pemerintah di Negeri Perak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PERAK

Copyright 2010 All Rights Reserved