Khamis, 21 Jun 2012

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


ibnu saman aljalawi: CIKGU AMRAN LEE DALAM KENANGAN

Posted: 15 Jun 2012 09:45 PM PDT

Rakan saya Ismail Yunus (berbaju gelap) bersalaman dengan Arwah Cikgu Amran Lee di majlis rakan kami Wan Zaiton mengahwinkan anaknya di Shah Alam.

JUMAAT 15 JUN 2012.
     Ada angin suam bertiup dibawah bahang mentari yang terperangkap oleh jerebu. Ruang angkasa Lembah Kelang menjadi kabur dan kelabu di gerbang senjakala. Alam seolah tumpang berdukacita berkongsi menerima berita sedih dari utara. Dalam nada terharu tetapi saya tetap redha.
     Pada 2009 saya berjaya menjejaki kediaman beliau di Bercham Ipoh bersama dua rakan kelas saya Mohd Tamin Shaari dan Che Azmi Bidin. Isteri beliau Cikgu Wan Bin binti Kamarudin yang juga guru kelas kesayangan kami menyambut kami dengan amat mesra. Ketika itu beliau baru sahaja keluar ke stadium untuk berjoging.
      Mendengar kedatangan kami, belaiu membatalkan aktiviti berjoging dan terus balik meraikan kami. Hubungan di jalin semula. Kami sering bertemu dalam agenda agenda reunion kecil dan majlis majlis kenduri kawan kawan alumni. Pasangan guru ini juga pernah pergi ke Sarawak dengan tujuan hanya menjejaki bekas murid mereka dari kalangan pelajar pelajar Sarawak yang menuntut di SMJ. Mereka berdua mengajar saya di SMJ dari 1971 hingga 1975. Keduanya menjadi guru kesayangan sekolah.
       Beliau seorang ahli memancing. Kebetulan berkongsi minat dengan saya. Beberapa agenda memancing dirancang tetapi saya tidak dapat menyertainya. Paling akhir pada awal Jun lalu beliau mencandat sotong di perairan Trengganu. Dalam nada gurau beliau memberitahu hanya dapat 3 kilo dan mereka tidak dapat membakarnya di pantai bersama rakan sebaliknya semua di kebasnya untuk dibawa balik. Musim akan datang beliau mahu memastikan saya turut serta mencari lubuk yang pernah saya dan rakan rakan lain temui pada 2008 sehingga mengaut bertong tong banyaknya.
       Allah telah memilih hari yang mulia ini sebagai saat untuk beliau di kembali kepadaNya. Sungguh bertuah diri beliau dan mana mana muslim yang kembali ke rahmatullah pada malam dan hari Jumaat. Mereka terlepas dari fitnah kubur yang dasyat. Ia juga memberi alamat bahawa mereka terdiri dari kalangan orang orang yang berbahagia dan berhati mulia ketika hayat.
     Setiap yang hidup pasti akan mati. Allahyarham Cikgu Amran Lee bin Abdullah telah melaluinya. Meninggalkan nama dan kisah suka dukanya untuk ahli keluarga, sanak saudara dan kawan kawan mengenangi dan menginsafi diri. Kepada Cikgu Wan Bin binti Kamarudin takziah buat cikgu sekeluarga. Yang pergi redha akan kepergiannya. Yang masih hidup, baki usia dalam kehidupan perlu diteruskan.
    Hari ini jenazah beliau akan di semadikan di kampung cikgu Wan Bin di Sungai Korok , Alor Setar, Kedah. Bersemadi lah dengan aman. Semoga Allah merahmati roh Allahyarham dan sekelian kita yang masih tinggal ini dengan limpah kurnia serta nikmat dan kasih sayangNya yang tidak terbatas.  Kepada Nya kita berserah diri dan pasti akan kembali.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan