Khamis, 21 Jun 2012

07 di lekir - Google Blog Search

07 di lekir - Google Blog Search


Misteri Beting Beras Basah |

Posted: 21 Jun 2012 05:40 PM PDT

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca.

BETING Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh, Perak berhampiran dengan muara Sungai Perak adalah kawasan pantai pasir yang kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam apabila air pasang.

Ia dikaitkan dengan Sultan Perak pertama yang menjejakkan kaki di sini. Setiap kali pertabalan Sultan Perak, sultan terbabit mestilah menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah.

Kawasan ini mempunyai keunikan yang tersendiri. Pasirnya memutih seakan-akan warna beras dan akan menjadi keras ketika surut hingga membolehkan kenderaan melaluinya.

Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Muda Orang Kaya-kaya Laksamana Raja Mahkota, Mohd Khairi Ahmad Tazalli, berkata kawasan terbabit penting kepada istiadat diraja terutama ketika pertabalan Sultan Perak.

Beliau berkata, menurut catatan sejarah, ketika Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Kampar, Indonesia, negeri Perak masih belum mempunyai raja.

Justeru, mesyuarat pembesar Perak ketika itu bersetuju sebulat suara supaya Tun Saban dan Nakhoda Kassim pergi ke Kampar, Indonesia mengadap Sultan Mahmud Shah, mengemukakan permohonan supaya puteranya dilantik sebagai ketua kerajaan Perak.

Ini kerana ketika pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Perak adalah di bawah naungan negeri itu dengan Beruas dijadikan ibu negeri.

Sultan Mahmud Shah kemudian melantik cucunya, Raja Mudzaffar sebagai Sultan Perak. Raja Mudzaffar adalah anak Raja Ahmad yang berkahwin dengan puteri Onang Kening anak Raja Kelantan.

Raja Mudzaffar kemudian dikurniakan alat kebesaran, iaitu sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap yang berlorek perkataan "Sultan Muhamad Shah Dzil Allah Fil-Alam", nobat dan surat Chiri.

Selepas menerima arahan, Raja Mudzaffar pun bersiap dan menunggu masa yang baik untuk berangkat meninggalkan Kampar.

Pada masa sama, Tun Saban pulang ke Perak dan menyediakan 77 ekor gajah yang sarat dengan pelbagai persembahan daripada penduduk Hulu Perak lalu menunggu ketibaan Raja Mudzaffar di Kuala Sungai Perak.

Tidak lama kemudian, Raja Mudzaffar belayar bersama isterinya, Tun Terang, anak lelakinya, Raja Mansur dan pengiring termasuk Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong.

Beliau singgah di Siak dan Kelang untuk menziarahi keluarganya. Ketika di Kelang beliau bertemu Nakhoda Tumi, iaitu orang Manjung yang selalu berulang-alik berniaga dari Perak ke Kelang. Nakhoda Tumi kemudian membawa Raja Mudzaffar ke Perak.

Akhirnya bahtera yang dinaiki rombongannya tiba di Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak. Dengan takdir Tuhan, bahteranya tersangkut pada beting terbabit. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, bahtera itu masih tetap tersangkut pada beting berkenaan. Sebaik beliau melihat masalah itu, beliau terus berkata, "Sekongkong tanah Minangkabau selilit Pulau Perca dilengkong ular saktimuna perpisahan beta di Selat Melaka. Jika sah beta Raja berdaulat lepaskan sekalian malapetaka."

Kata-katanya itu kemudian disahut Tuan Saban bersama rakyat yang menunggu di situ dengan teriakan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Selepas teriakan itu, bahtera yang tersangkut di beting terbabit kemudian bergerak masuk ke muara.

Bermula dari situ, Beting Beras Basah terus menjadi tempat penting kepada bakal Sultan Perak sebelum pertabalan. Bakal sultan mesti menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.

Beliau akan mencelup kaki dan mukanya ke Beting sekali gus menandakan selamat berangkat sampai, dan diikuti dengan doa selamat oleh kadi daerah atau seorang alim ulama yang terdahulu dititah mengiringinya.

Sementara itu, beberapa nelayan yang sering melabuhkan pukat dan memancing di kawasan itu mengakui Beting Beras Basah sebagai kawasan keras�.

Seorang nelayan, Ishak Sulaiman, 60, berkata ketika bertugas sebagai penyelia projek kerang di perairan Lekir kira-kira 15 tahun lalu, beliau mendakwa pernah mengalami pelbagai pengalaman yang menakutkan.

Beliau mendakwa pernah bermimpi dalam keadaan beliau separuh sedar dicekik kerana mengganggu laluan makhluk halus di kawasan itu.

"Saya bermimpi didatangi tiga lelaki berjubah hitam yang memarahi saya kerana merosakkan laluan jalan mereka," katanya sambil menambah peristiwa berlaku kira-kira 10 minit selepas waktu Maghrib.

Beliau berkata, mereka mendakwa kerja penanaman cerucuk batang nibong di kawasan itu menyebabkan jalan raya mereka rosak dan berlubang.

"Walaupun dalam keadaan separuh sedar, saya masih lagi teringat kata-kata mereka memarahi saya. Antara kata-kata mereka. Tiada tempat lain ke nak bina rumah?�

"Ini jalan kami, kalau kena langgar nanti siapa susah?

"Habis jalan kami berlubang, awak mesti bertanggungjawab.'

"Saya dapat melihat mata mereka merah dan seorang daripadanya tiba-tiba bertindak terus mencekik saya.

"Saya kemudian meminta maaf kepada mereka kerana saya tidak mengetahui bahawa projek yang dilaksanakan itu mengganggu laluan mereka.

"Akhirnya, lelaki terbabit melepaskan saya dan kemudian terus tersedar," katanya.

Seorang lagi rakannya, Samad Palil, 55, mendakwa pada malam sama beliau didatangi oleh tiga lelaki berjubah hitam dan bertengkolok bersama seorang wanita yang begitu cantik dengan menaiki sebuah kereta mewah ke tempat projek ternakan mereka.

Ketika itu, beliau bersama lagi seorang rakannya Husin Md Deris, 69, yang dikenali juga sebagai Pak Husin 69, sedang berbual-bual sambil memancing ikan.

"Tiba-tiba kami mendengar ada seseorang memberi salam dan lantas kami menjawab salam mereka," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada mereka melahirkan rasa tidak puas hati kerana projek ternakan kerang di situ mengganggu laluan mereka.

"Saya cuba memaklumkan kepada mereka bahawa projek yang dilaksanakan itu bukannya di atas darat sebaliknya di kawasan laut hingga menimbulkan ketegangan antara saya dengan lelaki itu.

"Lelaki tadi kemudian naik berang lalu meminta kami melihat sendiri apa yang berlaku.

"Saya benar-benar terkejut dan tidak menyangka sama sekali laut bertukar menjadi daratan.

"Malah, jalan raya yang didakwa oleh ketiga-tiga lelaki tadi terbentang luas di depan kami yang menyambungkan pantai Tanjung Kepah di Lekir sehingga Beting Beras Basah di Muara Bagan Datoh.

"Saya juga melihat beberapa lubang dan kerosakan jalan raya akibat daripada projek penanaman tiang nibong untuk mendirikan pondok di situ.

"Seorang daripada mereka kemudian meminta saya membayar ganti rugi kerana merosakkan jalan raya mereka.

"Saya memberitahu mereka bahawa saya hanya pekerja di situ. Mereka boleh berbincang (tuntutan ganti rugi akibat jalan rosak) kepada penyelia (Ishak Sulaiman)," katanya.

Beliau berkata, akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa Ishak untuk mendapatkan ganti rugi terbabit.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang paling tidak dapat dilupakan ialah peristiwa beliau diselamatkan oleh rakan apabila cuba memasuki kereta untuk mengikut mereka pulang.

"Mungkin umur saya masih panjang. Sebaik saja mereka mahu pulang, saya terpandang seorang wanita yang sangat cantik yang turut berada di situ mengajak saya menaiki kereta bersama mereka.

"Dek kerana paras wajah perempuan itu terlalu cantik, saya lantas mengikuti mereka menaiki kereta walaupun keadaan sebenarnya saya berada di atas laut," katanya.

Samad berkata, tiba-tiba Pak Husin yang berada berhampiran menarik tangan dan menepuk-nepuk badannya sehingga beliau tersedar.

Katanya, jika rakannya tidak berbuat demikian, beliau mungkin lemas atau dihanyutkan air.

"Kini semuanya menjadi misteri dalam hidup saya dan saya mengakui kawasan Beting Beras Basah aneh walaupun tidak dapat dibuktikan melalui kajian saintifik," katanya.

Sementara itu, Husin berkata kawasan yang didakwa sebagai tempat laluan mereka tidak ada sebarang hasil sebaliknya hanya tinggal kulit kerang saja.

Katanya, dipercayai kerang terbabit mati kerana dilanggar `kenderaan mereka' yang lalu lalang di situ.

Beliau berkata, sebanyak 200 guni benih kerang ditabur di kawasan berkenaan tetapi tidak memperoleh sebarang hasil berbanding kawasan lain berhampiran yang boleh menghasilkan beratus tan metrik kerang.

VN:F [1.9.18_1163]

Rating: 0.0/10 (0 votes cast)

VN:F [1.9.18_1163]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan