Khamis, 7 Mac 2013

07 di tanjung tualang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

07 di tanjung tualang - Google Blog Search


Udang galah <b>Tanjung Tualang di</b> Mali Ipoh

Posted: 26 Sep 2011 06:37 AM PDT

Udang galah Tanjung Tualang di Mali Ipoh

Oleh ASLIZA MUSA


Udang galah segar membangkit selera.


UDANG galah Tanjung Tualang cukup popular. Malah, mengikut cerita, pelancong dari Singapura berbondong-bondong menaiki bas ke pekan kecil di tengah negeri Perak, semata-mata untuk menikmati keenakannya.

Oleh kerana kebanyakan restoran tidak halal yang menyediakan hidangan tersebut, maka tentunya umat Islam tidak berpeluang merasa udang galah yang sememangnya terkenal itu.

Tapi kini ia bukan lagi masalah. Kunjungi restoran Mali Ipoh Seafood, Ipoh, Perak, anda pasti teruja. Restoran berasaskan masakan Cina halal yang diusahakan oleh usahawan muda, Azlan Mohd. Said itu turut menyediakan pelbagai lagi khazanah makanan Perak seperti ikan hantu atau ketutu dan tilapia Tasik Banding.

Penulis yang berkesempatan mencuba kelazatan makanan di restoran di pusat perdagangan Casuarina, Jalan Dr. Raja Nazrin Shah itu tidak dapat menahan selera apabila menyaksikan udang galah sepanjang tapak tangan dimasak kukus ala-Cina disusun sebaris bersama lapisan-lapisan putih telur.

Hidangan yang masih panas itu menandakan ia baru sahaja dimasak. Tentunya kecur air liur tidak sabar mahu mencuba sendiri keenakan udang galah Tanjung Tualang itu.

Malah, keterujaan penulis tidak terhenti di situ. Selepas itu, disajikan hidangan isi haruan yang dibalut bersama buah mangga dan epal.

Nampak pelik, tetapi saat secubit isi udang dan isi ikan haruan menjengah ke dalam mulut, penulis perlu bersetuju dengan pendapat seorang rakan bahawa makanan laut paling sesuai jika dimasak gaya masakan Cina.

Pendapat itu mungkin benar kerana kaedah memasak yang ringkas dan cepat, maka kesegaran dan kemanisan serta rasa makanan ini kekal terjamin.

Menurut Azlan, masakan Cina bukan semuanya berasaskan tumis, sos tiram mahu pun kukus.

Orang Cina juga terkenal dengan masakan asam pedas dan kari, katanya sambil menghulur dua dulang berisi masakan asam pedas kepala ikan Norway dan kari ikan bawal.

Keenakan asam pedas berkenaan mendapat reaksi positif seorang rakan yang kebetulan berasal dari Melaka yang terkenal dengan masakan asam pedas.

Kalau begini tidak perlu balik Melaka untuk menikmati asam pedas, katanya.

Hidangan lain yang turut menjadi kesukaan pengunjung adalah lam ko kicap atau ikan ketutu yang dimasak pada suhu tinggi bersama rempah ratus serta kicap istimewa telah berjaya mengekalkan kemanisan isi ikan tersebut.

Masakan tilapia stim ros juga tidak kurang hebatnya. Menu ini pasti pengganti yang paling sesuai untuk penggemar ikan masak tiga rasa. Bezanya, ikan tidak digoreng sebaliknya dikukus.

Menu-menu lain yang tidak boleh diketepikan adalah sotong Mongolia dan kailan dua rasa yang digoreng garing manakala batangnya ditumis.

Bagi menghilangkan dahaga, jangan lupa mencuba jus amra atau kedondong, dan laici tembikai yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menurut Azlan, selain mengutamakan kesegaran dan mengekalkan keaslian cita rasa, Mali Ipoh tidak berkompromi dalam soal kebersihan serta keselesaan pelanggan.

Bagi menjamin halal, semua sos dan tepung yang digunakan untuk masakan di restoran itu dibuat dan diadun sendiri.

Restoran yang sesuai untuk seisi keluarga itu juga turut menyediakan hidangan masakan Melayu dan barat selain menerima tempahan yang boleh dibuat melalui talian 05-2341618 dan 05-2433618.

Mali Ipoh Seafood yang boleh memuatkan 160 pelanggan dalam satu-satu masa itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam. Sabtu dan Ahad dibuka pukul 11.00 pagi hingga 12.00 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PERAK

Copyright 2010 All Rights Reserved