07 di pengkalan hulu - Google Blog Search |
Saya Dendam komunis dan penyokongnya ke akhir hayat ~ Sungai <b>...</b> Posted: 08 Oct 2011 10:42 PM PDT "Selagi masih tertanam peluru senjata komunis dalam badan saya, selagi itu dendam kepada pengganas tersebut tidak akan padam sehingga ke akhir hayat." Demikian luahan seorang bekas polis, Bahari Ismail, 61, yang pernah bertugas di Batalion 19, Pasukan Polis Hutan (PPH) di Pengkalan Hulu, Perak dan diserang hendap sekumpulan pengganas pada 23 Disember 1976. Katanya, tarikh tersebut merupakan sejarah hitam dalam hidupnya kerana pada hari itu, dia bersama tiga rakan lain ditembak bertalu-talu semasa dalam perjalanan pulang ke kem PPH di Pengkalan Hulu selepas selesai menjalankan operasi. Menurutnya, kejadian berlaku semasa konvoi PPH melalui kawasan berselekoh di Batu 29, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik dan secara tiba-tiba kenderaan yang dinaiki telah diserang hendap oleh komunis yang dipercayai mahu melumpuhkan sistem komunikasi pihak berkuasa. "Apabila sampai di satu selekoh, kenderaan kami dihujani peluru komunis yang memaksa saya dan tiga rakan melompat keluar dan berselindung di sebalik kenderaan. "Namun, semasa cuba menyelamatkan diri itu, saya dan pasukan telah terkena tembakan menyebabkan kami semua cedera parah," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bahari berkata, tidak cukup dengan tembakan, pengganas komunis turut membaling beberapa bom tangan sehingga menyebabkan kenderaan dan alat komunikasi yang berada di dalamnya musnah sama sekali. Bagaimanapun katanya, dalam suasana cemas itu, dia bersama rakan yang lain cuba bertahan dengan berlindung di belakang pokok berhampiran dan membalas serangan berkenaan sementara menunggu bantuan tiba 30 minit kemudian. "Tempoh 30 minit dirasakan begitu lama, namun kami tidak mudah mengalah dan tetap memberikan tentangan dengan senjata yang kami bawa," katanya. Menurutnya, pengganas komunis berundur apabila dua buah kereta perisai polis tiba untuk memberikan bantuan dan turut dibantu oleh platun meriam yang melancarkan serang balas tidak jauh dari lokasi kejadian. Katanya, selepas keadaan tenang dia mendapati keseluruhan badannya berlumuran darah dengan empat serpihan bom tangan yang mengenai dadanya. "Satu persatu serpihan di dada saya cabut tetapi masa itu tidak berasa sakit sehingga tiba di Hospital Baling yang kemudiannya merujukkan saya ke Hospital Alor Setar kerana kecederaan yang terlalu parah," katanya. Selesai dirawat katanya, baru dia menyedari bukan sahaja tercedera akibat serpihan bom tangan yang dilontar oleh komunis tetapi terdapat juga tujuh kesan tembakan di beberapa bahagian badannya. Beliau berkata, daripada tujuh tembakan itu, tiga butir telah menembusi badannya dan empat lagi masih berada dalam tubuh badan sehingga kini iaitu masing-masing satu di lengan kanan dan pinggang dan dua di betis kanan. Katanya, dia tidak berniat untuk mengeluarkan peluru berkenaan kerana tidak mahu membahayakan nyawa dan yang paling penting adalah sebagai bukti tentang kekejaman komunis. "Ia akan menjadi lambang perjuangan saya dan rakan polis yang lain khususnya dari Skuad 69 yang bermandi darah memperjuangkan negara dari cengkaman komunis," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from di pengkalan hulu - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan