Ahad, 5 Februari 2012

07 di pasir salak - Google Blog Search

07 di pasir salak - Google Blog Search


Kembalikan Kegemilangan Kompleks Sejarah <b>Pasir Salak</b> <b>...</b>

Posted: 26 Jan 2012 03:15 PM PST

BARU-baru ini saya membawa graduan saya melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak untuk membuat kajian tentang sejarah dan corak kehidupan masyarakat Melayu tepi sungai Perak sejak dahulu. Rata-rata mereka berasal dari luar Perak terutama Sabah.
Kami sebenarnya dalam proses menyiapkan sebuah perkampungan Melayu Perak di Kampung Pulau Tiga berkonsepkan Agro Pelancongan dan Pendidikan Sejarah.
Memandangkan mereka yang sedang menguruskan projek berkenaan, harapan lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak adalah untuk melihat warisan Melayu tepi sungai Perak yang suatu ketika dahulu turut menjadi lokasi pemerintahan raja-raja di Perak.
Namun keterujaan kami tiba-tiba menjadi sedih, hambar, kecewa, malah kadang-kadang rasa geram apabila melihat keadaan fizikal kemudahan dan nilai sejarah di kompleks berkenaan yang sudah usang, lantai reput, malah dapur ditutup kerana struktur rumah kutai sudah reput.
Lebih menyentuh perasaan apabila melihat rumah Dato' Seri Maharaja Lela yang dikelilingi kubu pertahanan yang menggambarkan perang orang Melayu menentang British pada tahun 1874 juga terbiar semak. Rumah kutai Dato' Maharaja Lela juga rosak dan menjadi sarang penagih dadah.
Setelah melihat keadaan rumah Dato' Maharaja Lela itu, terkeluar dari mulut graduan saya, ''apakah ini cara masyarakat kita menghargai jasa pahlawan Melayu yang mengorbankan nyawa kerana menentang penjajah?"
Jika graduan saya berusia sekitar 20-an boleh melahirkan rasa sedih, bayangkan dalam hati saya yang merupakan anak jati tepi sungai di Kampung Gajah, Perak.
Dalam bilik kuliah atau syarahan saya kepada semua pelajar, saya sering berbangga mengatakan tentang catatan sejarah Pasir Salak yang merakamkan keberanian orang Melayu membunuh penjajah British yang akhirnya menjadi pencetus kepada penentangan di seluruh tanah air.
Bagi saya, peninggalan sejarah tersebut adalah signifikasi perjuangan hidup suatu bangsa. Jika dahulu patriotisme tersebut adalah untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan asing, kini moral perjuangannya adalah jati diri untuk memartabatkan maruah bangsa dalam mengekalkan kuasa politik, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Kerajaan dan pemimpin negara perlu melihat kepentingan Kompleks Sejarah Pasir Salak sebagai platform penting sejarah kedaulatan bangsa. Ia juga adalah pusat peninggalan warisan yang perlu disemat ke dalam jiwa generasi baru. Kewujudannya bukanlah sebagai nostalgia silam tetapi sebagai sumber inspirasi menuju masa depan.
Oleh itu, saya menyeru kepada pengurusan Jabatan Muzium, pemimpin di Perak dan seluruh umat Melayu supaya bersama-sama mengembalikan kegemilangan sejarah Pasir Salak dengan meningkatkan kemudahan sedia ada. Kepentingannya bukanlah untuk individu atau orang Pasir Salak semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini.
Dipetik dari Forum utusan.com.my
Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan