Selasa, 4 Oktober 2011

07 di bercham - Google Blog Search

07 di bercham - Google Blog Search


MAZHA 2010: Popiah tersohor <b>di</b> Ipoh

Posted: 05 Aug 2011 12:00 AM PDT


Sos Dan Kulit Popiah Rahsia Popiah S.S Ali

Keunikkan, kesedapan dan perbezaan kuih popiah yang dibuat oleh setiap pengusaha popiah adalah terletak pada sos dan kulit popiahnya. Kedua-dua perkara ini menjadi penentu, samada popiah tersebut akan menjadi kegemaran ramai atau pun tidak.

Pengusaha Popiah S.S. Ali, Mohamad Mubarak Mohamad Sultan, 45, berkata sos dan kulit popiah yang disediakan oleh beliau merupakan bahan yang paling penting dalam proses penyediaan kuih popiahnya.

"Sos popiah dan kulit popiah S.S. Ali ini, dibuat sendiri oleh saya dengan menggunakan bahan dan resepi keluarga yang diturunkan oleh arwah bapa saya Mohamad Sultan Daud kepada sembilan orang anak-anaknya.

"Oleh itu, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sos dan kulit popiah tidak boleh saya kongsi dan biarlah ia menjadi rahsia turun-temurun keluarga kami," katanya ketika ditemubual di kediamannya yang terletak di Fair Park, Ipoh.

Justeru itu, Mubarak berkata adalah penting untuk beliau menyelia setiap proses penyediaan bahan-bahan tersebut agar kualitinya terjamin dan sentiasa konsisten.

Selain daripada itu, beliau turut menegaskan bahawa bahan-bahan yang akan digunakan untuk dijadikan inti kuih popiah juga diberi perhatian yang sewajarnya dan perlu dipastikan kesegarannya.

"Ya, memang betul sos dan kulit popiah penting tetapi inti popiah juga tidak seharusnya kita ambil mudah. Dalam erti kata lain, ia juga penting. Bahan-bahan tersebut seperti sengkuang, taugeh, telur, bawang goreng, lobak, kacang dan udang goreng perlu sentiasa dalam keadaan yang segar," jelasnya.

Katanya, tahap kebersihan dalam setiap proses penyediaannya juga harus diberi perhatian kerana sedikit kekotoran akan menyebabkan kuih popiah tersebut mudah basi dan mendatangkan kemudaratan kepada pemakannya.

Sehingga kini menurut beliau lagi, berkat usaha dan wasiat arwah bapanya yang menginginkan anak-anaknya meneruskan perniagaan keluarga Popiah S.S. Ali, perniagaan tersebut terus berkembang pesat di seluruh Malaysia iaitu terdapat 17 gerai kesemuanya dan antaranya ialah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor , Perak, dan Johor Bahru.

"Di Ipoh saja saya giat menjalankan perniagaan Popiah S.S. Ali di setiap pasar malam yang ada. Pada hari Isnin di Ipoh Jaya dan Medan Selera Tasek. Hari Selasa di Klebang, Taman Perpaduan dan Sungai Siput. Hari Rabu di Rapat Setia, Sri Iskandar, dan Sungai Siput. Hari Khamis di Taman Seri Rapat dan Silibin. Hari Jumaat di Simpang Pulai, Pekan Razaki dan Taman Jati. Hari Sabtu di Bercham Raya dan Taman Anda. Pada hari Ahad pula kami tidak berniaga," terangnya dengan teliti.

Beliau yang mempunyai tujuh orang pekerja memberitahu kuih popiah yang dijualnya setiap hari adalah dalam lingkungan 1000 hingga 2000 dan akan habis sebelum pukul 10 malam.

Katanya, beliau juga menerima tempahan untuk majlis-majlis keramaian.

"Setiap tempahan di bawah 500 kita akan sediakan di rumah dan hantar dan tempahan yang melebihi 1000 kita akan buat live show di majlisn tersebut," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan popiah S.S. Ali boleh hubungi En. Mubarak di talian 012-5512012 ataupun Pn. Azura di talian 017-5910746.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan