Sabtu, 16 Mac 2013

07 di menglembu - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

07 di menglembu - Google Blog Search


DUNIA ITU: Tanggung sakit 3 jam jatuh lubang 10 meter

Posted: 12 Mar 2013 09:01 PM PDT


Ipoh: Seorang lelaki bertarung nyawa hampir tiga jam apabila tulang belakangnya dipercayai patah selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira 10 meter berhampiran Bukit Kledang, Menglembu, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, Muhammad Asyahad Masdar, 20, yang bekerja sebagai pemotong rumput dikatakan tidak sedar kewujudan lubang seluas satu meter yang ditutupi semak ketika sedang bertugas di kawasan berkenaan bersama pekerja lain.

Cedera tulang belakang 

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Kinta, Rayner Saimon, berkata mangsa ditemui dalam keadaan sedar tetapi mengerang kesakitan dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kecederaan belakang dipercayai kesan hentakan ketika terjatuh.

"Kami menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana lubang berkenaan terlalu dalam dan sempit.

"Justeru, anggota penyelamat terpaksa turun ke dalam lubang itu menggunakan tali serta lampu suluh bagi mengesan kedudukan mangsa yang terperangkap di dalamnya.

"Sebaik sampai kepada mangsa, dia mengadu sakit di pinggang dan tulang belakang serta tidak mampu menggerakkan tubuhnya itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Rayner berkata, mangsa yang turut terjatuh bersama mesin pemotong rumput yang dibawanya, berjaya dibawa naik dengan tubuhnya diikat dan didukung keluar secara berhati-hati kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini.

Beliau percaya kemungkinan lubang itu pada mulanya digali oleh kontraktor untuk menanam tiang elektrik namun apabila ia tidak dilaksanakan, lubang berkenaan tidak dikambus semula dan ditinggalkan hingga ditutupi semak samun.

Berita Harian 13 Mac 2013

Perangkap lubang tinggal

Anggota JPAM bersama bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap selama dua jam dalam lubang tinggal (gambar kecil) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.


IPOH – Seorang pekerja kontrak terperosok ke dalam lubang tinggal sedalam sembilan meter ketika sedang memotong rumput di kawasan pencawang elektrik di Bukit Kledang, Menglembu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyahad Masdar, 20, bersama empat rakan lain sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.

Kejadian itu disedari oleh seorang rakan mangsa yang telah habis bekerja sebelum menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Ketua Operasi JPAM, Staf Muda Pertahanan Awam Rayner Saimon berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 9.59 pagi.

"Tiba di tempat kejadian, kita melihat mangsa terperosok ke dalam lubang tersebut bersama mesin rumput yang masih tersandang di bahunya.

"Agak sukar untuk melihat keadaan mangsa di dalam berikutan sangat gelap selain sempit menyebabkan penggunaan lampu suluh dan tali digunakan untuk membawa mangsa keluar," katanya.

Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran berikutan saiz lubang yang kecil serta perlu berhati-hati berikutan mangsa mengadu sakit bahagian tulang belakang.

"Anggota penyelamat terpaksa turun bagi mengesan mangsa dan berjaya mengikat tubuh mangsa sebelum mendukungnya keluar secara perlahan-lahan dari lubang itu.

"Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 12 tengah hari dengan kerjasama pihak bomba dan kita terus menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan," katanya.

Rayner berkata, mangsa bernasib baik berikutan tanah pada dinding lubang itu tidak runtuh sebaik dia terjatuh ke dalamnya.

"Ada kemungkinan lubang itu digali oleh pihak kontraktor untuk menanam tiang elektrik namun tidak dikambus semula dan ditinggalkan hingga ditutupi semak samun," katanya.

Sinar Harian 13 Mac 2013

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PERAK

Copyright 2010 All Rights Reserved